Banjir: Keluarga diraja Sepanyol tunda lawatan susulan ketegangan di Valencia
Bernama
November 4, 2024 12:35 MYT
November 4, 2024 12:35 MYT
ISTANBUL: Lawatan yang dirancang oleh Raja Sepanyol Felipe VI dan Permaisuri Letizia ke bandar Chiva yang dilanda banjir ditangguhkan pada Ahad susulan ketegangan yang semakin memuncak di Valencia, di mana protes tercetus di bandar Paiporta selepas banjir besar melanda kawasan itu.
Keputusan untuk menangguhkan lawatan diraja itu dibuat melalui persetujuan bersama antara pihak berkuasa negara Sepanyol, kerajaan autonomi Valencia, dan Istana Diraja, menurut laporan Agensi Anadolu (AA) yang memetik penyiar RTVE Noticias.
Terdahulu pada Ahad, Felipe dan Letizia berkenan melawat Paiporta dalam lawatan disertai Perdana Menteri Pedro Sanchez dan pemimpin wilayah Carlos Mazon. Namun, delegasi itu berdepan kira-kira 100 penunjuk perasaan yang marah dan melemparkan kata-kata kesat, lumpur, bahkan penyodok ke arah mereka.
Kecewa dengan tindak balas bencana, para penunjuk perasaan menjerit "pembunuh" ketika pegawai cuba bercakap dengan orang ramai. Situasi kemudiannya bertambah tegang, memaksa delegasi berundur dari kawasan itu.
Wilayah itu masih berada dalam krisis akibat banjir yang telah meragut 217 nyawa, dengan beberapa penduduk masih hilang.
Pihak berkuasa tempatan meramalkan hujan lebat berterusan di kawasan termasuk Castellon dan Almeria.
Lebih 3,000 penduduk di Valencia masih terputus bekalan elektrik, akses internet tidak menentu dan laporan mengenai kejadian rompakan telah membawa kepada 20 tangkapan semalaman.
Sebagai tindak balas, lebih 17,000 anggota keselamatan, termasuk polis, bomba, dan tentera, telah dikerahkan untuk memberikan bantuan.
Di sebalik usaha ini, kekecewaan dalam kalangan penduduk terus meningkat berikutan kekurangan bekalan penting dan kelewatan pengagihan bantuan ke kawasan terjejas.
-- BERNAMA