Banjir Jerman: 110 disahkan maut, 1,300 hilang
Astro Awani
Julai 17, 2021 09:58 MYT
Julai 17, 2021 09:58 MYT
SEKURANG-kurangnya 110 penduduk terkorban manakala 1,300 lagi dikhuatiri hilang pada Jumaat, selepas hujan lebat membadai barat Eropah, mengakibatkan banjir besar melanda Jerman dan Belgium.
Menurut pihak berkuasa negeri Rhineland-Palatinate di barat Jerman, ribut luar biasa menyebabkan taburan hujan meningkat mendadak kepada 148 liter setiap meter persegi dalam tempoh 48 jam.
Kebiasaannya, kawasan itu menerima taburan hujan kira-kira 80 liter setiap meter persegi sahaja.
Kebimbangan kini meningkat terhadap penduduk yang masih hilang susulan keadaan hujan lebat yang menyukarkan kerja-kerja mencari dan menyelamat.
Setakat ini, 60 dilaporkan maut di daerah Rhineland-Palatinate, termasuk 12 penduduk di sebuah fasiliti tempat tinggal orang kurang upaya di bandar Sinzig, yang dikejutkan air deras dari sungai Ahr yang berdekatan.
Pegawai di North Rhine-Westphalia pula menyatakan kes kematian di daerah itu adalah seramai 43 orang, tetapi memberi amaran angka itu mungkin meningkat.
Cuaca buruk itu telah mengakibatkan ribuan penduduk di barat Eropah terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing selepas banyak rumah rosak teruk.