Banjir: Ibu kota Thailand tidak akan dipindahkan - Calon Gabenor Bangkok
Astro Awani
Januari 21, 2022 11:58 MYT
Januari 21, 2022 11:58 MYT
BANGKOK: Ibu kota Thailand tidak akan dipindahkan seperti yang dilakukan kerajaan Indonesia bagi mengelakkan masalah banjir yang melanda Bangkok sejak berdekad lalu.
Menurut Calon Gabenor Bangkok, Suchatvee Suwansawas, Bangkok yang mempunyai kepadatan penduduk melebihi lapan juta orang akan kekal sebagai ibu negara Thailand.
Beliau yang bertanding untuk jawatan Gabenor di bawah Parti Demokrat berkata, perpindahan ibu negara bukan jalan penyelesaian kepada masalah banjir.
“Saya telah mengetahui bahawa Indonesia merancang untuk memindahkan ibu negara dari Jakarta ke wilayah Kalimantan Timur bagi mengelakkan masalah banjir setiap tahun.
"Ibu kota baharu itu akan dinamakan ‘Nusantara’.
“Saya tidak akan mengkritik tindakan Indonesia kerana saya percaya kerajaan mereka telah mengkaji isu ini secara menyeluruh.
“Bagaimanapun, berita ini membuatkan saya terfikir tentang Bangkok, yang mengalami masalah yang sama,” katanya seperti dilapor portal The Nation Thailand, hari ini.
Jelas bekas Presiden Institut Teknologi Raja Mongkut Ladkrabang itu lagi, masalah banjir di Bangkok merupakan agenda utamanya.
Suchatvee, 49, percaya bencana alam itu boleh diatasi tanpa perpindahan ibu kota.
“Jika kita tidak melakukan apa-apa sekarang, mungkin sudah terlambat untuk ibu kota kita.
"Bangkok adalah rumah saya dan saya tidak bercadang untuk memindahkan ibu kota ke tempat lain," ujarnya.
Pilihan Raya Gabenor Bangkok dijangka diadakan tahun ini, bagaimanapun tarikh sebenar masih belum diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.
Nusantara yang dinamakan sebagai ibu kota baharu bagi Indonesia akan meliputi kawasan utama seluas 56,180 hektar di wilayah Kalimantan Timur.
Pada 2019, Presiden Jokowi mengumumkan ibu kota Indonesia akan dipindahkan ke kawasan Penajam Paser Utara dan Kutai Kartanegara di Kalimantan Timur, namun pelaksanaannya ditunda berikutan COVID-19.
Rancangan memindahkan pusat pemerintah dari Jakarta, sebuah bandar mega sibuk dengan 10 juta penduduk, mengalami kesesakan kronik, banjir dan pencemaran udara, telah diusulkan beberapa presiden, tetapi tidak ada yang berjaya sejauh ini.