Banjir, hujan lebat di Pakistan ragut 820 nyawa
Bernama
Ogos 23, 2022 12:58 MYT
Ogos 23, 2022 12:58 MYT
ISLAMABAD: Sekurang-kurangnya 820 orang maut manakala 1,315 lagi cedera dalam kejadian berasingan akibat hujan lebat yang melanda seluruh Pakistan sejak 14 Jun, menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara (NDMA) pada Isnin.
Mangsa yang maut termasuk 304 kanak-kanak dan 178 wanita, kebanyakannya tinggal di kawasan paling terjejas teruk, lapor Xinhua.
Pihak berkuasa memaklumkan wilayah barat daya Balochistan kekal sebagai kawasan paling terjejas teruk dengan 225 orang terkorban manakala 95 yang lain cedera.
Jalan raya sepanjang 2,886.9 kilometer (km), 129 jambatan dan 50 kedai musnah dihanyutkan banjir kilat.
Sementara itu, 504,321 ternakan dilaporkan mati di seluruh negara.
NDMA, organisasi kerajaan, sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan sedang melaksanakan misi bantuan di kawasan yang dilanda banjir.
Menurut jabatan meteorologi Pakistan, hujan lebat berkemungkinan berterusan untuk tempoh beberapa hari lagi.
-- BERNAMA