Banjir di Thailand: Lebih 10,000 isi rumah terjejas di enam wilayah

Bernama
Ogos 28, 2024 22:17 MYT
Sejak 16 Ogos, banjir kilat dan tanah runtuh yang dicetuskan oleh hujan monsun telah mengakibatkan 22 kematian dan 19 kecederaan di seluruh Thailand. - Reuters
BANGKOK: Sejumlah 10,432 isi rumah dari 609 kampung di enam wilayah masih terjejas oleh banjir setakat Rabu, walaupun paras air telah surut, menurut Jabatan Pencegahan dan Pengurangan Bencana (DDPM) Thailand.
Dalam satu kenyataan, Ketua Pengarah DDPM Chaiwat Chuntirapong berkata wilayah yang masih mengalami banjir ialah Chiang Rai, Phayao, Sukhothai, Nakhon Sawan, Loei, dan Nong Bua Lamphu.
Beliau berkata walaupun paras air telah menurun di kebanyakan kawasan, paras air di Wilayah Sukhothai belum surut sepenuhnya.
Bagi menangani isu ini dan memberikan bantuan kepada mereka yang terjejas akibat banjir, DDPM melalui Pejabat DPM Wilayah telah melakukan penyelarasan dengan pihak berkuasa wilayah, organisasi pentadbiran tempatan, dan agensi berkaitan untuk segera membantu mangsa dan menyelesaikan masalah mereka, katanya.
Chaiwat berkata DDPM dengan kerjasama agensi berkaitan lain, pasukan pegawai operasi dan jentera bantuan bencana telah digerakkan untuk meringankan penderitaan mereka yang terjejas oleh bencana ini.
"Ini termasuk menghasilkan dan mengagihkan air minuman bersih kepada penduduk yang terjejas," katanya.
Mengenai usaha bantuan banjir di wilayah utara, DDPM dan Tentera Diraja Thai telah bergabung tenaga untuk mengerahkan satu helikopter bantuan bencana KA-32 bersama kakitangan penyelamat daripada DDPM dan "Pasukan Penjaga" yang terdiri daripada 32 helikopter untuk membantu misi berterusan membantu mangsa banjir dan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan bencana pada masa depan di kawasan berkenaan.
Sejak 16 Ogos, banjir kilat dan tanah runtuh yang dicetuskan oleh hujan monsun telah mengakibatkan 22 kematian dan 19 kecederaan di seluruh Thailand.
DDPM melaporkan bahawa keadaan cuaca buruk ini telah menjejaskan lebih daripada 30,900 isi rumah di 13 wilayah.
-- BERNAMA
#banjir #Thailand #enam wilayah terjejas #bantuan mangsa