Banjir di Thailand jejas 300,000 keluarga, ragut sembilan nyawa
Bernama
Oktober 6, 2021 00:48 MYT
Oktober 6, 2021 00:48 MYT
BANGKOK: Ribut tropika "Dianmu" yang mencetuskan banjir di Thailand, kira-kira dua minggu lepas telah menjejaskan hampir 300,000 keluarga dan meragut sekurang-kurangnya sembilan nyawa, menurut pihak berkuasa.
Jabatan Pencegahan Bencana dan Mitigasi dalam satu kenyataan memaklumkan hujan lebat melanda di 32 wilayah utara, timur laut dan tengah.
Setakat ini, 16 wilayah masih digenangi air termasuk bandar bersejarah Ayutthaya, Chiang Mai, Buriram, Sukhothai, Chaiyaphum, Sing Buri dan Nakhon Ratchasima.
"Banjir itu mengakibatkan sembilan kematian termasuk enam di Lop Buri, dua di Phetchabun dan satu di Chai Nat. Seorang dilaporkan hilang.
"Terdapat 101,500 keluarga di 2,176 kampung masih terjejas akibat banjir," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Thailand memberi amaran kemungkinan berlaku ribut tropika lain yang diramal melanda kawasan timur laut negara, minggu depan.
Selain itu, hujan lebat dan ribut petir dijangka melanda kawasan tengah, timur dan selatan.
Reuters melaporkan banjir turut menjejaskan lebih 40 kuil di bandar bersejarah Ayutthaya.
Thailand mengalami banjir terburuk pada 2011 yang mengorbankan lebih 800 orang dan menyebabkan kerosakan melebihi 1.5 trilion baht.
-- BERNAMA