Banjir di Thailand: Empat maut dan 14,328 isi rumah terjejas

Bernama
September 11, 2024 21:20 MYT
Keadaan di sebuah kawasan di daerah Fang, Chiang Mai pada pagi Rabu (11 September) yang dinaiki air bah. - X: @chiangmai108
BANGKOK: Hujan berterusan menyebabkan banjir dan tanah runtuh di utara dan tengah Thailand, mengakibatkan empat kematian dan menjejaskan 14,328 isi rumah, menurut Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana (DDPM) pada Rabu.
DDPM melaporkan mangsa yang terkorban termasuk dua individu yang terlibat dalam tanah runtuh di wilayah Chiang Mai, manakala dua lagi maut akibat banjir di Chiang Rai.
Chaiwat Chuntirapong, Ketua Pengarah DDPM, melaporkan keadaan banjir kekal kritikal di tujuh wilayah termasuk Chiang Rai, Chiang Mai, Tak, Sukhothai, Phitsanulok, Ang Thong dan Ayutthaya, setakat Isnin.
"Pada masa ini, 17 daerah, 97 mukim, 450 kampung dan 14,328 isi rumah masih terjejas. DDPM sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa wilayah, badan pentadbiran tempatan dan agensi berkaitan untuk mempercepatkan bantuan kepada mereka yang terjejas," katanya dalam kenyataan.
Beliau mengaitkan keadaan cuaca buruk itu disebabkan oleh alur monsun sederhana yang melintasi kawasan utara dan timur laut Thailand, digabungkan dengan sistem tekanan rendah di utara Vietnam dan Teluk Tonkin.
Beliau juga berkata monsun barat daya yang sedang berlarutan di Laut Andaman, Thailand, dan Teluk Thailand telah memburukkan lagi keadaan.
Sementara itu, Chaiwat berkata sejak 16 Ogos, banjir kilat dan tanah runtuh menjejaskan 120 daerah di 27 wilayah di utara, timur laut dan selatan Thailand, menjejaskan 83,501 isi rumah, menyebabkan 26 kematian dan mencederakan 19 orang.
Beliau menegaskan jabatan itu menggerakkan kakitangan operasi dan peralatan bantuan bencana, termasuk pam air jarak jauh, kenderaan bantuan bencana dan trak pengeluaran air minuman. Sumber itu digunakan untuk mengalirkan air dari kawasan banjir dan menyediakan air minuman bersih kepada mereka yang terjejas.
-- BERNAMA
#banjir #tanah runtuh #mangsa korban #Thailand #Chiang Rai #Chiang Mai
;