Banjir di Somalia akibatkan ratusan ribu hilang tempat tinggal
Agensi
Ogos 11, 2020 19:52 MYT
Ogos 11, 2020 19:52 MYT
Banjir di Somalia memaksa ratusan ribu orang berpindah daripada kediaman mereka.
Lebih 23,000 orang terpaksa berpindah disebabkan banjir yang melanda sejak minggu lalu, menurut pihak berkuasa.
Sejak Jun, lebih 150,000 orang telah kehilangan tempat tinggal dan lebih setengah juta orang terpaksa dipindahkan pada tahun ini, menurut Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Seorang penduduk di bandar Afgoi, Abdi Mohamed berkata, penduduk di situ bukan sahaja kehilangan tempat tinggal, malah juga kehilangan sumber pendapatan.
“Rumah keluarga saya terjejas teruk oleh banjir ini. Keluarga saya dan jiran-jiran saya terpaksa berpindah dan tiada tanda bahawa banjir ini akan surut dalam masa terdekat.
“Kami telah hilang tanaman, harta benda dan pekerjaan kami,” kata Abdi.
Menurut Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR), banjir berkenaan juga memaksa ratusan ribu penduduk melarikan diri ke kem sementara dan tinggal di tempat perlindungan yang dibuat daripada pakaian, beg plastik, kadbod dan ranting kayu.
“Air sungai membanjiri rumah kami dan memaksa kami untuk melarikan diri. Kami tidak dapat tinggal di rumah kami lagi disebabkan ular dan buaya yang berada di situ.
“Oleh itu, kami telah berpindah ke kem sementara,” kata seorang lagi mangsa banjir, Batulo Aden.
Kadar kebuluran dan kekurangan zat makan juga meningkat tatkala berlakunya penularan wabak COVID-19.
#Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu
#banjir
#berpindah
#hilang tempat tinggal
#Somalia
#UNHCR