Banjir di Nusa Tenggara Timur, 44 disahkan terkorban
Astro Awani
April 4, 2021 06:38 MYT
April 4, 2021 06:38 MYT
JAKARTA: Seramai 44 orang disahkan terkorban setakat ini dalam kejadian banjir lumpur dan tanah runtuh di wilayah Flores Timur di Nusa Tenggara Timur, Indonesia.
Perkara itu disahkan Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia dalam satu kenyataan, pada Ahad.
Puluhan rumah di beberapa desa di wilayah berkenaan ditenggelami lumpur akibat banjir selain ditimbusi tanah runtuh.
Cabaran di lapangan adalah akses satu-satunya ke tempat kejadian adalah menyeberang laut ke Pulau Adonara.
Hujan, angin dan gelombang laut ketika ini menyebabkan pasukan penyelamat menghadapi kesukaran untuk ke lokasi kejadian.
Hujan lebat sejak tiga hari lepas di kawasan berkenaan menyebabkan berlakunya banjir lumpur sejak awal pagi ahad melibatkan beberapa desa dan penempatan penduduk.
Jumlah korban dikhuatiri meningkat berikutan masih ramai dilaporkan hilang dan tertimbus dalam runtuhan tanah dan timbunan banjir lumpur.