Banjir di Jakarta, ekonomi lumpuh, inflasi meningkat

Astro Awani
Januari 18, 2013 08:40 MYT
Musibah sejak Rabu di ibu kota Indonesia itu melumpuhkan aktiviti ekonomi dan mungkin akan menjejaskan pertumbuhannya.
Timbalan Pengerusi Dewan Perniagaan Jakarta, Sarman Simanjorang menganggarkan kerugian sebanyak 1 ke 1.5 bilion rupiah sejam, akibat bencana itu.
Sarman memaklumkan, ekonomi Jakarta lumpuh kerana ketiadaan pekerja untuk menggerakkan aktiviti perniagaan.
Sebagai pusat ekonomi negara, ekonomi Jakarta terjejas dengan bencana tersebut, dan kerajaan masih mencari penyelesaian mutlak.
Sementara itu, Menteri Kewangan, Agus DW Martowardojo menyuarakan kebimbangan banjir dan hujan lebat yang melanda akan menyebabkan inflasi meningkat kepada satu peratus.
Agus mendakwa hujan lebat yang menyebabkan banjir dan tanah runtuh, menjejaskan penghantaran barangan, khususnya barangan keperluan, yang mendorong kenaikan harga.
GabenorJjakarta, Joko Widodo pada Khamis mengisytiharkan darurat di bandar itu berikutan banjir besar yang melanda.
Perintah tersebut berkuatkuasa serta merta sehingga 27 Januari depan.
Keputsan untuk mengisytiharkan darurat dibuat bagi membolehkan kerajaan mengambil langkah perlu bagi menangani masalah banjir.
Keputusan ini juga bagi membolehkan kerajaan mengambil langkah pantas seperti membekalkan peralatan bantuan kepada mangsa, tanpa melalui proses tender.
#Agus DW Martowardojo #banjir #Indonesia #Jakarta #Sarman Simanjorang
;