Banjir di India: 113 terkorban, 50 cedera, 100 yang lain masih hilang

Khairunnisa Kasnoon
Julai 25, 2021 22:41 MYT
Ratusan penyelamat dikerah ke kawasan yang terjejas bagi mengesan mangsa yang masih hilang. - Gambar REUTERS
SEKURANG-KURANGNYA 113 orang maut dan 50 yang lain cedera dalam kejadian tanah runtuh dan banjir susulan hujan lebat yang melanda Maharashtra di barat India.
Menurut pihak berkuasa, kira-kira 100 mangsa juga dilaporkan masih hilang akibat kejadian tersebut.
Jurucakap kerajaan memaklumkan lebih 130,000 mangsa diselamatkan dari hampir 900 kampung yang terjejas di seluruh negeri.
Sebilangan besar yang diselamatkan terkandas di atas bumbung rumah dan di atas bas di lebuh raya.
Pihak berkuasa mengerahkan ratusan penyelamat di kawasan yang terjejas bagi mengesan mangsa yang masih hilang untuk dibawa ke kawasan selamat.
Antara lain, helikopter turut digunakan untuk tujuan memindahkan mangsa yang terperangkap.
Bencana yang disebabkan tanah runtuh dan banjir adalah perkara biasa di India pada musim tengkujuh bermula Jun hingga September.
Hujung minggu lalu, lebih daripada 30 orang terbunuh akibat tanah runtuh yang disebabkan hujan lebat di sekitar Mumbai.
#banjir #India #tanah runtuh #Mumbai #Maharashtra #hujan lebat
;