Banjir di Filipina, angka kematian meningkat kepada 25

Bernama
Disember 28, 2022 15:21 MYT
Sebanyak18 kematian direkodkan di selatan Filipina, lima di wilayah Bicol di pulau utama Luzon, manakala dua lagi di tengah Filipina. - REUTERS
MANILA: Angka kematian akibat banjir dan hujan lebat dicetuskan oleh shear line di Filipina meningkat kepada 25 korban pada Rabu.
Menurut Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan dalam laporan terbaharunya mendedahkan bahawa 26 orang masih hilang manakala sembilan lagi dilaporkan cedera.
Sebanyak18 kematian direkodkan di selatan Filipina, lima di wilayah Bicol di pulau utama Luzon, manakala dua lagi di tengah Filipina, lapor Xinhua memetik laporan itu.
Agensi itu memaklumkan 12 orang masih hilang di wilayah Bicol, 11 di tengah Filipina, dan tiga di selatan Filipina.
Kejadian banjir turut menjejaskan lebih 390,000 orang di sembilan wilayah di seluruh negara serta merosakkan kediaman, tanaman, jalan raya dan jambatan.
Filipina adalah antara negara yang paling terdedah kepada bencana alam kerana lokasinya di Lingkaran Api Pasifik dan Lingkaran Taufan Pasifik. Secara purata, 20 taufan membadai kepulauan itu setiap tahun.
-- BERNAMA
#Filipina #banjir #angka korban #hujan lebat
;