Banjir di Assam, India jejaskan setengah juta penduduk

Bernama
Jun 25, 2023 18:30 MYT
Paras air meningkat secara mendadak di banyak sungai seperti di Guwahati ini memaksa penduduk berpindah ke tempat yang lebih selamat. - AP-
NEW DELHI: Banjir akibat hujan lebat di negeri Assam, timur laut India menjejaskan hampir setengah juta orang.
Paras air meningkat secara mendadak di Brahmaputra dan sungai-sungai lain.
Lebih 490,000 orang dilapor terjejas banjir di 16 daerah, lapor media tempatan pada Ahad.
Sekurang-kurangnya tiga kematian dilaporkan setakat ini, manakala banjir telah merosakkan tanaman, jalan raya dan jambatan di pelbagai kawasan di negeri ini.
Hujan juga mencetuskan kejadian tanah runtuh di beberapa tempat.
Lebih 81,000 orang ditempatkan di 101 kem bantuan, menurut agensi pengurusan bencana negeri itu pada Sabtu.
"Saya telah bercakap dengan Ketua Menteri Himanta Biswa Sarma dan memberi jaminan semua bantuan akan disalurkan," kata Menteri Dalam Negeri India, Amit Shah
-- BERNAMA
#banjir #Assam #India #penduduk dipindahkan
;