Banjir dan tanah runtuh di Venezuela, 22 maut 52 hilang
Bernama
Oktober 10, 2022 11:54 MYT
Oktober 10, 2022 11:54 MYT
BOGOTA (Colombia): Sekurang-kurangnya 22 orang maut manakala 52 lagi hilang dalam kejadian tanah runtuh dicetuskan hujan lebat pada Sabtu di Venezuela, lapor Agensi Anadolu.
"Kami melihat banyak kerosakan berlaku...setakat ini kami telah menemukan 22 mayat.
"Lebih 52 orang hilang dan kami sedang berusaha mengesan kesemua mangsa," kata Timbalan Presiden Delcy Rodriguez kepada pemberita pada Ahad.
Sungai El Pato yang terletak 40 batu dari barat daya Caracas telah menghanyutkan beberapa kediaman dan kedai di Las Tejerias, Aragua.
Presiden Nicolas Maduro berkata pasukan bantuan kini sedang menyalurkan bantuan kecemasan.
"Berdepan dengan situasi sukar dan memilukan akibat hujan lebat di Las Tejerias, saya mengarahkan Timbalan Presiden @delcyrodriguezv, Kabinet dan semua agensi keselamatan melaksanakan penempatan sementara untuk penjagaan menyeluruh rakyat. Mereka tidak bersendirian!" Maduro berkata menerusi Twitter.
Maduro turut mengisytiharkan berkabung selama tiga hari.
Beberapa bahagian di Venezuela dilaporkan menerima curahan hujan lebih banyak berbanding biasa akibat fenomena La Nina.
Angka korban akibat hujan lebat sejak dua minggu lepas kini mencecah 42, menurut pihak berkuasa.
-- BERNAMA