Banjir Congo: Angka kematian meningkat kepada lebih 200
Bernama
Mei 7, 2023 13:24 MYT
Mei 7, 2023 13:24 MYT
KIGALI: Angka kematian akibat banjir dan tanah runtuh di timur Congo kini mencecah lebih 200, kata seorang pegawai ketika usaha menyelamat diteruskan pada Sabtu.
"Sekurang-kurangnya 203 mayat telah ditemukan setakat ini tetapi angka kematian dijangka meningkat," kata Pentadbir Kalehe Thomas Bakenge kepada pemberita.
Banjir yang dicetuskan oleh hujan lebat menyebabkan tebing Sungai Chibira pecah, hingga memusnahkan bangunan dan ramai mangsa tertimbus di bawah runtuhan, lapor Agensi Anadolu.
Gabenor Kivu Selatan Theo Ngwabidje berkata kerajaan wilayah menghantar bekalan perubatan, menyediakan tempat tinggal dan makanan.
Katanya, kerajaan telah mengambil langkah mengelak bencana serupa termasuk menempatkan semula penduduk yang tinggal di kawasan berisiko tinggi.
Presiden Felix Tshisekedi mengisytiharkan Hari Perkabungan Kebangsaan pada Isnin.
Kejadian tanah runtuh yang meragut nyawa penduduk ketika musim hujan sering dilaporkan berlaku di kawasan itu.
Laporan media memaklumkan lebih 780 isi rumah hilang tempat tinggal berikutan banjir yang melanda wilayah Uvira di Kivu Selatan pada minggu lalu.
Bencana itu berlaku beberapa hari selepas banjir dan tanah runtuh mengorbankan 140 orang di Rwanda dan barat Uganda.
-- BERNAMA