Banjir buruk di Sulawesi Selatan korbankan 21 nyawa
Bernama
Januari 24, 2019 11:13 MYT
Januari 24, 2019 11:13 MYT
Banjir buruk yang melanda Sulawesi Selatan sejak Selasa lepas, dilaporkan telah mengorbankan 21 nyawa setakat ini.
Menurut kenyataan Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB), kawasan yang terbabit banjir adalah Kota Makassar dan enam kabupaten iaitu Gowa, Takalar, Jeneponto, Maros, Pangkep, dan Barru.
"Setakat pagi ini lebih 5,000 penduduk dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan sementara," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua BNPB Daerah Sumatera Selatan, Syamsibar, dipetik media tempatan Indonesia sebagai berkata setakat ini seramai 41 orang dilaporkan masih hilang.
Beliau berkata kawasan penempatan penduduk terbabit dinaiki air antara satu hingga hampir tiga meter, selain berlaku beberapa kejadian tanah runtuh, manakala kawasan keseluruhan banjir melibatkan kawasan melebihi 10,000 hektar.
"Badan Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) meramalkan hujan lebat akan berterusan sehingga esok di Sulawesi Selatan, penduduk diminta berjaga-jaga dan berpindah ke kawasan selamat jika diarahkan berbuat demikian," katanya.
Setakat ini tiada rakyat Malaysia dilaporkan menjadi mangsa dalam kejadian banjir itu.
"Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta turut memantau perkembangan berkenaan dan meminta rakyat Malaysia yang berada di Sulawesi Selatan agar mematuhi arahan pihak berkuasa," kata jurucakap kedutaan.
-- BERNAMA
#Badan Nasional Pengurusan Bencana
#banjir
#BMKG
#Indonesia
#Jakarta
#Kota Makassar
#mangsa
#rakyat Malaysia
#Sulawesi Selatan
#Sumatera Selatan