Banjir, angin kencang sebabkan kemusnahan di beberapa daerah Indonesia

Bernama
Januari 12, 2025 17:51 MYT
BNPB dalam kemas kini pada Ahad mengesahkan kerosakan di beberapa wilayah termasuk Pulau Jawa, Maluku Utara dan Kalimantan Selatan. - Facebook BNPB
JAKARTA: Beberapa kawasan di Indonesia dilanda banjir besar dan angin kencang susulan hujan lebat berterusan, menyebabkan kemusnahan meluas termasuk rumah tenggelam, kerosakan kemudahan awam dan kawasan pertanian yang terjejas.
Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) dalam kemas kini pada Ahad mengesahkan kerosakan di beberapa wilayah termasuk Pulau Jawa, Maluku Utara dan Kalimantan Selatan.
Di Jawa Tengah, banjir melanda daerah Pekalongan dan Cilacap manakala banjir pasang surut menjejaskan kampung Depok dan Blacanan, Jumaat lalu.
"Lebih 1,010 keluarga terkesan dengan lebih 700 rumah ditenggelami air. Paras air kekal antara 15 hingga 40 sentimeter," menurut jurucakap BNPB Abdul Muhari.
Di Cilacap, limpahan sungai Cijambe dan Cikamuning membanjiri dua kampung menyebabkan kira-kira 200 orang terpaksa berpindah selain menyebabkan kerosakan pertanian yang ketara, dengan 65 hektar sawah padi ditenggelami air.
Sementara itu, di Halmahera Timur, Maluku Utara, hujan lebat selama tiga jam pada Sabtu menyebabkan banjir di kampung Minamin dan Saolat, melibatkan 23 isi rumah.
Banjir turut menenggelamkan infrastruktur penting seperti kemudahan kesihatan dan menghanyutkan hasil kelapa seberat 10 tan. Namun, paras air dilaporkan surut menjelang 10 malam waktu tempatan, jelas Abdul Muhari.
Keadaan turut bertambah buruk apabila angin kencang melanda daerah Banjar, Kalimantan Selatan, pada petang Sabtu dan mengakibatkan 25 rumah rosak dengan lima daripadanya musnah teruk.
Pihak berkuasa tempatan kini giat membersihkan kawasan terjejas dan memberikan bantuan kepada mangsa dengan Agensi Pengurusan Bencana Wilayah (BPBD) menyelaras usaha bantuan.
-- BERNAMA
#hujan lebat #bencana alam #banjir #angin kencang #BNPB #Indonesia
;