Banjir: Anggota pasukan SAR Greece antara 7 maut dalam nahas di Libya

Astro Awani
September 18, 2023 08:00 MYT
Antara anggota kecemasan dari beberapa negara yang menyertai misi mencari dan menyelamat mangsa di Libya. - Foto AP
DERNA: Empat anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Greece dan tiga sekeluarga warga Libya maut dalam satu kemalangan jalan raya pada Ahad.
Menurut pihak berkuasa Libya, anggota tersebut sebagaian daripada pasukan mencari dan menyelamat yang sedang menuju ke Derna apabila bas yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta.
Dua lagi individu dalam kereta berkenaan serta lapan lain yang menaiki bas dilaporkan cedera parah.
Kerajaan Greece telah memulakan siasatan berkenaan kejadian itu dengan kerjasama kerajaan Libya.
Menteri Kesihatan, Othman Abdeljalil berkata, pasukan mencari dan menyelamat itu dalam perjalanan ke Derna dari Benghazi ketika kejadian.
Libya terbahagi kepada dua kerajaan berlawanan, satu berpangkalan di Tripoli yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) manakala satu lagi berpangkalan di Benghazi dengan sokongan Mesir.
Pasukan tentera Greece berkata, punca sebenar nahas itu belum dapat lagi dikenal pasti, hanya bas yang membawa petugas kesihatan telah bertembung dengan sebuah kereta dari arah bertentangan.
Katanya dalam satu kenyataan pada Ahad, tiga anggota kemanusiaan Greece maut dalam insiden berkenaan.
Sumber diplomatik memberitahu agensi berita Greece Kathimerini, 16 individu yang terlibat dalam nahas itu merupakan anggota mencari dan menyelamat Greece manakala tiga lagi jurubahasa.
Kesemua mereka dalam perjalanan untuk menyertai misi mencari dan menyelamat bersama pasukan dari beberapa negara lain termasuk Perancis dan Itali.
Ribuan mangsa terkorban selepas dua empangan di Derna pecah akibat taufan kuat yang melanda negara itu minggu lalu.
PBB memaklumkan angka korban telah mencecah 11,300 dengan lebih 10,000 mangsa masih hilang.
#banjir #pasukan mencari dan menyelamat #Nahas #meninggal dunia
;