Bangunan runtuh di Mesir, tiga maut
Astro Awani
Februari 6, 2019 07:49 MYT
Februari 6, 2019 07:49 MYT
Seorang pelancong wanita warga Jerman dan dua kanak-kanak warga Mesir terbunuh pada Selasa apabila sebuah bangunan empat tingkat runtuh di kawasan kejiranan Luxor, Mesir.
Wanita Jerman itu dilaporkan sedang melalui bangunan berkenaan ketika ia runtuh dalam kejadian kira-kira jam 6 petang waktu tempatan.
Sekurang-kurangnya 13 yang lain cedera, termasuk seorang lelaki, juga pelancong dari Jerman, yang ketika kejadian berjalan bersama wanita itu.
Bagaimanapun tidak dinyatakan sebab mengapa bangunan tersebut runtuh.
Luxor merupakan salah satu destinasi pelancongan paling penting di negara itu, menempatkan makam Firaun Tutankhamun di Lembah Raja-raja.