Bangunan runtuh di Kemboja, angka kematian meningkat ke 17 orang

Agensi
Jun 23, 2019 16:23 MYT
Pada Ahad, pasukan SAR masih belum dapat membersihkan separuh daripada kesan runtuhan keluli, kaca dan bongkah konkrit itu. - Reuters
Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Kemboja pada Ahad terus bertungkus-lumus memeriksa tapak runtuhan sebuah bangunan yang sedang dalam pembinaan di Sihanoukville untuk mencari mangsa tertimbus.
Kejadian bangunan tujuh tingkat yang runtuh milik pengusaha China itu menggemparkan penduduk tempatan dan angka korban setakat ini mencatatkan sekurang-kurangnya 17 orang.
Seorang mangsa yang masih hidup berjaya dibawa keluar dari tapak insiden di bandar peranginan pantai itu pada Sabtu, lebih dari 12 jam insiden itu berlaku.
Pada Ahad, pasukan SAR masih belum dapat membersihkan separuh daripada kesan runtuhan keluli, kaca dan bongkah konkrit itu.
Tiga warganegara China dan seorang tuan tanah warga Kemboja telah ditahan untuk siasatan. Perdana Menteri Hun Sen pula menyifatkan kejadian itu berpunca daripada kecuaian.
Sekurang-kurangnya 1,000 pekerja SAR, polis, pegawai perubatan dan pakar kerja-kerja pembinaan kini berada di lokasi.
Kawasan perkampungan nelayan yang suatu masa dahulu tenang, kini rancak dengan pembangunan yang dilabur oleh syarikat-syarikat dari China.
Ribuan pelancong datang ke Sihanoukville, lebih-lebih lagi dengan tarikan pusat-pusat kasinonya.
Bagaimanapun, kepesatan pembangunan itu mencetus kebimbangan pihak pemantau tentang pematuhan standard keselamatan.
#bangunan runtuh #Kemboja #mangsa tertimbus #Phnom Penh #SAR #Sihanoukville
;