Bangladesh terima pembiayaan AS$900 juta untuk pertumbuhan lestari

Bernama
Jun 22, 2024 17:56 MYT
Pembiayaan baharu ini akan membantu Bangladesh dalam dua bidang utama iaitu sektor kewangan dan pengurusan bandar. - Gambar hiasan/AP
DHAKA: Lembaga Pengarah Eksekutif Bank Dunia meluluskan dua projek berjumlah AS$900 juta bagi membantu Bangladesh memperkukuh dasar fiskal dan kewangan, serta meningkatkan infrastruktur dan pengurusan bandar bagi memastikan pertumbuhan yang lestari dan berdaya tahan iklim.
"Pembaharuan yang tegas akan membantu Bangladesh mengekalkan pertumbuhan dan mengukuhkan daya tahan terhadap perubahan iklim dan kejutan lain.
"Pembiayaan baharu ini akan membantu Bangladesh dalam dua bidang utama iaitu sektor kewangan dan pengurusan bandar dan untuk mencapai status negara berpendapatan pertengahan tinggi," pengarah negara Bank Dunia untuk Bangladesh dan Bhutan, Abdoulaye Seck dipetik sebagai berkata dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Projek pertama, Kredit Dasar Pemulihan dan Daya Tahan Kedua bernilai AS$500 juta, bertujuan menyokong reformasi fiskal dan kewangan bagi mempercepatkan pertumbuhan lestari dan membina ketahanan terhadap kejutan masa depan, termasuk perubahan iklim.
Pakar Ekonomi Kanan dan Ketua Pasukan Petugas Bank Dunia untuk program itu, Bernard Haven menjelaskan bahawa sektor kewangan yang berfungsi dengan baik adalah penting bagi meningkatkan pelaburan dan akses kepada pembiayaan untuk mereka yang terpinggir daripada sistem perbankan formal.
Projek kedua, Pembangunan Bandar dan Wilayah yang Berdaya Tahan bernilai US$400 juta akan membantu meningkatkan infrastruktur bandar yang tahan iklim dan serta keupayaan pengurusan bandar di sepanjang koridor ekonomi meliputi lebih 950 kilometer dari Cox Bazaar di selatan hingga Panchagarh di utara Bangladesh.
Pakar Pembangunan Bandar Kanan Bank Dunia, Kwabena Amankwah-Ayeh berkata projek ini akan membantu membina ketahanan terhadap perubahan iklim dan mewujudkan peluang pekerjaan di bandar-bandar lain.
-- BERNAMA
#Bangladesh #peruntukan #Bank Dunia #fiskal #kewangan
;