Bangladesh sambung semula internet mudah alih selepas 10 hari tanpa perkhidmatan

Bernama
Julai 28, 2024 15:50 MYT
Bangladesh menyambung semula perkhidmatan Internet mudah alih pada petang Ahad, selepas 10 hari tanpa perkhidmatan akibat keganasan yang dicetuskan oleh protes pelajar mengenai kuota pekerjaan kerajaan. - Gambar fail/AP
DHAKA: Bangladesh menyambung semula perkhidmatan Internet mudah alih pada petang Ahad, selepas 10 hari tanpa perkhidmatan akibat keganasan yang dicetuskan oleh protes pelajar mengenai kuota pekerjaan kerajaan.
Timbalan Menteri Pos, Telekomunikasi dan Teknologi Maklumat Zunaid Ahmed Palak berkata perkhidmatan itu disambung semula pada pukul 3 petang waktu tempatan, lapor Agensi Anadolu.
Beliau berkata memandangkan pelanggan tidak dapat menggunakan pakej yang telah mereka bayar, pengguna akan mendapat bonus data 5 GB selama tiga hari.
Kerajaan telah mematikan perkhidmatan Internet mudah alih pada 17 Julai dan perkhidmatan jalur lebar pada 18 Julai di tengah-tengah keganasan yang semakin memuncak semasa protes berkenaan.
Perkhidmatan Internet jalur lebar disambung semula pada 23 Julai, dan perintah berkurung yang dikenakan untuk menangani situasi ketenteraman awam mula dilonggarkan.
Lebih daripada 200 orang terbunuh sejak 16 Julai, menurut anggaran bebas kerana kerajaan belum mengeluarkan jumlah rasmi. Sekolah-sekolah dan institusi pendidikan lain masih ditutup.
Pertempuran bermula pada 15 Julai antara polis dan penunjuk perasaan terdiri daripada pelajar yang menuntut penamatan kuota yang memperuntukkan 30 peratus pekerjaan kerajaan untuk saudara-mara veteran yang berjuang dalam perang kemerdekaan 1971.
Susulan kekacauan itu, Mahkamah Agung mengarahkan kerajaan untuk mengurangkan kuota pekerjaan. Kuota 30 peratus untuk keturunan veteran dikurangkan kepada lima peratus, dan kuota untuk etnik minoriti, golongan transgender dan orang kurang upaya dihadkan kepada dua peratus.
-- BERNAMA
#Bangladesh #Internet mudah alih #protes pelajar #keganasan