Bangladesh rekod lebih 300 kematian akibat denggi dalam tempoh sebulan
Astro Awani
Oktober 1, 2023 07:15 MYT
Oktober 1, 2023 07:15 MYT
DHAKA: Bangladesh terus mencatat rekod terburuk bagi kematian akibat wabak denggi dengan mencatat 396 kematian pada September, bulan terburuk sejak tahun 2000.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan (DGHS) Bangladesh maklumkan, hampir 80,000 pesakit demam denggi dimasukkan ke hospital bulan lalu.
Manakala Ogos menyaksikan 342 kematian akibat penyakit bawaan nyamuk itu.
Pihak berkuasa kesihatan Bangladesh pula melaporkan 14 kematian baharu dicatatkan setakat Ahad, termasuk lapan dari ibu negara, Dhaka.
Perkembangan itu sekali gus memberi gambaran bahawa tiada tanda-tanda menunjukkan keadaan akan bertambah baik.
Jumlah kematian setakat ini mencecah 989 kes termasuk 639 di Dhaka.
Data DGHS mendedahkan, jumlah keseluruhan pesakit demam denggi meningkat kepada 203,406 kes dengan tambahan 2,425 lagi kes kemasukan ke hospital.
Kadar kematian dan kemasukan ke hospital kini berada pada tahap tertinggi sejak negara itu mula merekodkan statistik wabak denggi pada 2000.
Tahun lalu, Bangladesh melaporkan 281 kematian akibat denggi.
Musim monsun kali ini dengan kesejukan luar biasa di Bangladesh memudahkan nyamuk pembawa virus denggi membiak di dalam air yang kotor dan bertakung.
Kementerian Kesihatan kini bergelut untuk membendung penularan penyakit itu dan hospital di seluruh negara mengalami lebihan kapasiti pesakit yang meruncing.
Denggi pernah menjadi penyakit bermusim di Bangladesh, tetapi disebabkan monsun yang lebih panas dan lembap akibat perubahan iklim, ia berlaku lebih kerap sejak wabak pertama yang direkodkan pada 2000.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, jangkitan denggi dilaporkan di semua 64 daerah di Bangladesh, dengan ratusan pesakit membanjiri hospital di ibu kota Dhaka untuk mendapatkan rawatan, walaupun kebanyakannya sudah melebihi kapasiti.