Bangladesh mahu pindahkan pelarian Rohingya ke pulau
AFP
Mei 28, 2015 17:17 MYT
Mei 28, 2015 17:17 MYT
Bangladesh bercadang untuk menempatkan semula ribuan warga Rohingya yang telah bertahun-tahun tinggal di kem-kem pelarian di sempadan antara negara itu dan Myanmar, ke sebuah pulau.
Maklumat rasmi dari pemerintah Bangladesh itu menyatakan bahawa kumpulan pelarian tersebut akan dipindahkan ke Pulau Hatiya di Teluk Bengal. Cadangan itu mendapat persetujuan Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina Wazed.
“Penempatan semula kem-kem Rohingya pasti akan dijalankan. Setakat ini, langkah-langkah tidak rasmi telah dibuat mengikut arahan Perdana Menteri,” kata Ketua Bahagian Bantuan Pelarian, Amit Kumar Baul.
Bangladesh hari ini mempunyai 32,000 pelarian Rohingya berdaftar yang tinggal di dua kem dalam wilayah tenggara Cox's Bazar yang bersempadan dengan Myanmar.
Seorang ketua warga Rohingya memberitahu pemindahan itu hanya akan menyukarkan kehidupan pelarian yang kebanyakannya sudah cukup menderita di kem-kem tersebut.
“Kami mahu pemerintah Bangladesh dan organisasi antarabangsa menyelesaikan masalah kami dari sini,” ujar Mohammad Islam.
Amit Kumar bagaimanapun menjelaskan, pemindahan itu perlu dilakukan kerana kewujudan kem-kem tersebut dibimbangi merencatkan kelancaran sektor pelancongan di Cox’s Bazar.
Perancangan pemindahan tersebut diumumkan selepas beberapa hari Sheikh Hasina menyelar rakyatnya yang ke luar negara secara haram melalui laut ke negara lain, dengan menggelarkan mereka ‘sakit mental’ serta mencalar imej Bangladesh.
Ribuan pelarian Rohingya and Bangladesh kini sanggup meredah lautan dengan menaiki bot sesak untuk ke Asia Tenggara.