Bangladesh hantar bantahan susulan kenyataan Menteri Dalam Negeri India

Bernama
September 24, 2024 09:15 MYT
Kenyataan Shah (gambar) merujuk warga Bangladesh sebagai 'penceroboh' dan mengancam untuk mengusir imigran Bangladesh dan Rohingya yang didakwa sebagai pendatang haram dari Jharkhand. - Gambar fail/REUTERS
NEW DELHI: Bangladesh membantah kenyataan "tidak wajar dan tidak boleh diterima" yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri India, Amit Shah mengenai warganegara Bangladesh.
Kementerian Luar Bangladesh mengemukakan bantahan keras terhadap kenyataan yang disifatkan sebagai "sangat tidak dapat diterima" yang dilapor dibuat oleh Shah mengenai warga Bangladesh ketika lawatannya ke negeri Jharkhand minggu lalu.
"Menerusi nota bantahan yang diserahkan hari ini kepada Timbalan Pesuruhjaya Tinggi India di Dhaka, kementerian menyampaikan rasa kecewa serta menyeru agar kerajaan India menasihati pemimpin politiknya supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang tidak wajar dan tidak boleh diterima seperti itu," menurut kementerian itu dalam satu kenyataan pada Isnin.
Kementerian itu juga menegaskan bahawa kenyataan sedemikian yang dibuat oleh seorang pemimpin berjawatan penting terhadap rakyat negara jiran, mencemarkan semangat saling menghormati dan persefahaman antara dua negara sahabat.
Kenyataan Shah yang disiarkan oleh media India merujuk warga Bangladesh sebagai "penceroboh" dan mengancam untuk mengusir imigran Bangladesh dan Rohingya yang didakwa sebagai pendatang haram dari Jharkhand.
-- BERNAMA
#India #Bangladesh #Menteri Dalam Negeri India Amit Shah #nota bantahan
;