Bangladesh hantar 1,600 pelarian Rohingya ke pulau Bhasan Char

Saraya Mia
Disember 4, 2020 05:37 MYT
Warga Rohingya menaiki kapal untuk dipindahkan ke pulau Bhasan Char di Chattogram, Bangladesh, 4 Dis, 2020. REUTERS
Kira-kira 1,600 pelarian Rohingya dibawa menaiki kapal tentera untuk dihantar ke tapak pelarian baharu di Teluk Bengal, Bhasan Char, sebuah pulau yang terdedah kepada bencana alam, pada Jumaat.
Menurut kerajaan Bangladesh, pihaknya hanya membawa mereka yang sukarela untuk pergi dalam usaha mengawal kesesakan di tapak pelarian Cox's Bazar yang kini menempatkan lebih 1 juta pelarian Rohingya.
“Kerajaan tidak memaksa sesiapa untuk pergi ke Bhasan Char, dan kami mengekalkan pendirian ini,” kata Menteri Luar Bangladesh Abdul Momen, di Chittagong, pada Khamis.
Bagaimanapun, menurut kumpulan hak asasi manusia, terdapat antara pelarian Rohingya yang dipaksa menaiki kapal itu yang membawa mereka ke sebuah pulau yang cenderung kepada bencana banjir.
Pulau Bhasan Char dikatakan baru muncul dari laut sekitar 20 tahun lalu.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Kementerian Luar Bangladesh berkata pihaknya merancang memindahkan 100,000 pelarian Rohingya kerana "kesesakan yang melampau" dan "keadaan keselamatan yang semakin teruk" di kem itu.
Katanya, pulau itu dilengkapi "infrastruktur yang cukup dan kemudahan yang lebih baik" dan ia berharap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan turut turun, bersama 22 pasukan lain yang telah bersetuju untuk membantu.
Sementara itu, Reuters melaporkan dua daripada pelarian itu mengaku mereka setuju menaiki kapal itu dan gembira dapat meninggalkan Cox's Bazar.
Bagaimanapun, terdapat juga dua warga Rohingya yang memberitahu Reuters, nama mereka disenaraikan untuk menaiki kapal oleh pemimpin tempatan yang dilantik kerajaan, tanpa persetujuan mereka.
#Rohingya #Myanmar #Bangladesh #pelarian #banjir #rakyat #tentera #kerajaan #kapal tentera #tapak pelarian baharu #teluk bengal #sesak #Menteri Luar Bangladesh #kumpulan hak asasi manusia #terpaksa #Bhasan Char
;