Bangladesh diancam penyakit bawaan air

Astro Awani
Ogos 31, 2024 07:40 MYT
Setakat ini, banyak kawasan masih ditenggelami air, menghalang akses penduduk yang terperangkap banjir ke hospital dan klinik. - Foto AP
DHAKA: Pihak berkuasa Bangladesh bersiap sedia menghadapi penularan penyakit bawaan air selepas banjir dahsyat minggu lalu mengorbankan sekurang-kurang 54 nyawa dan menjejaskan berjuta-juta penduduk.
Pegawai Kementerian Pengurusan Bencana memberi amaran wabak penyakit bawaan air mungkin berlaku jika penduduk tidak mendapatkan akses air bersih sebaik banjir surut.
Menurutnya, apa yang menjadi keutamaan sekarang ialah memastikan kesediaan air minuman yang selamat kepada penduduk.
Menurut Direktorat Perkhidmatan Kesihatan, dalam tempoh 24 jam lalu, kira-kira 3,000 orang dimasukkan ke hospital akibat penyakit bawaan air di kawasan yang dilanda banjir.
Setakat ini, banyak kawasan masih ditenggelami air, menghalang akses penduduk yang terperangkap banjir ke hospital dan klinik.
Walaupun banjir mulai surut di kawasan tertentu, masih ramai mangsa yang terperangkap memerlukan makanan, air bersih, ubat-ubatan dan pakaian kering, terutama di kawasan terpencil.
Banjir sejak 21 Ogos lalu menjejaskan 5.4 juta penduduk di 11 daerah timur dan tenggara, menyebabkan 1.2 juta keluarga terkandas.
Keadaan itu memaksa puluhan ribu orang berpindah, manakala tanah ladang dan kolam ikan musnah.
Kerajaan peralihan yang diketuai pemenang Nobel Keamanan 2006, Muhammad Yunus meneruskan misi bantuan dan menyelamat.
Minggu lalu, kerajaan itu mencadangkan penubuhan jawatankuasa kawalan banjir selepas bencana menyebabkan kerosakan serta perpindahan besar-besaran di negeri Tripura, Timur India dan Bangladesh.
#penyakit bawaan air #banjir #Hospital #air bersih