Bangladesh bimbang kebanjiran warga Rohingya di kem pelarian
Astro Awani
September 13, 2022 09:30 MYT
September 13, 2022 09:30 MYT
DHAKA: Kehadiran lebih sejuta pelarian Rohingya yang terus menetap di kem sesak di Bangladesh mencetuskan kebimbangan serius terhadap keselamatan dan kestabilan negara itu.
Perdana Menteri, Sheikh Hasina, berkata selain kesengsaraan mereka, kehadiran pelarian itu secara berterusan menyebabkan kesan serius terhadap ekonomi, alam sekitar, keselamatan dan kestabilan sosiopolitik Bangladesh.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian mesyuarat pegawai tentera dari 24 negara di kawasan Indo-Pasifik yang akan berlangsung selama tiga hari dengan dinamakan seminar pengurusan tentera Indo-Pasifik, bersama tentera Bangladesh.
Amerika Syarikat (AS) turut hadir di perhimpunan berkenaan.
Ketika tentera negara yang mengambil bahagian membincangkan mengenai pengurusan bencana, jenayah rentas negara, isu keselamatan dan pemerkasaan wanita, Bangladesh menggunakan platform itu untuk mengetengahkan isu pelarian Rohingya yang melarikan diri daripada keganasan di Myanmar.
Ketua tentera Bangladesh, Jeneral SM Shafiuddin Ahmed berkata, peserta pada mesyuarat itu termasuk AS, Kanada, Australia, Jepun, Indonesia, India, China dan Vietnam akan melawat kem pelarian Rohingya bagi melihat sendiri keadaan mereka.
SM Shafiuddin berkata, pemimpin tentera dibawa ke kem di daerah Cox's Bazar untuk memberikan mereka persepsi jelas mengenai betapa kritikalnya krisis pelarian dan mengapa penghantaran pulang mereka ke myanmar diperlukan.
Bulan lalu menandakan ulang tahun kelima penghijrahan beramai-ramai lebih 700,000 pelarian Rohingya ke Bangladesh yang melarikan diri daripada kekerasan tentera Myanmar.
Secara keseluruhannya, Bangladesh menampung lebih satu juta pelarian Rohingya.
Sheikh Hasina berkata, penghantaran pulang satu-satunya penyelesaian kepada krisis itu, namun Bangladesh tidak akan memaksa mereka pulang ke myanmar.
Pegawai Bangladesh sebelum ini menzahirkan kekecewaan selepas sekurang-kurangnya dua percubaan untuk menghantar pulang pelarian gagal di bawah perjanjian dua hala yang diuruskan China.
Masyarakat Islam Rohingya berkata, keadaan masih terlalu berbahaya di Myanmar yang majoritinya adalah penganut Buddha, di mana mereka berdepan diskriminasi secara besar-besaran.