Bangladesh bakal haramkan Jamaat-e-Islami
Astro Awani
Ogos 1, 2024 08:30 MYT
Ogos 1, 2024 08:30 MYT
DHAKA: Kerajaan Bangladesh pimpinan Perdana Menteri Sheikh Hasina dijangka mengharamkan parti Islam utama dan sayap pelajarnya yang dituduh bertanggungjawab dalam keganasan semasa protes menentang peraturan pengambilan kakitangan awam, baru-baru ini.
Tindakan itu dibuat selepas Sheikh Hasina mempersalahkan Parti Jamaat-e-Islami dan pembangkang, Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) terhadap keganasan yang memaksanya mengenakan perintah berkurung.
Menteri Undang-Undang, Keadilan dan Hal Ehwal Parlimen, Anisul Huq berkata, larangan itu diterima pakai melalui perintah eksekutif pada Rabu.
Menurutnya, keputusan itu dibuat demi negara dan keamanan Bangladesh.
Mengecam keputusan tersebut, Jamaat dalam satu kenyataan menyifatkan tindakan pemerintah yang dipimpin oleh Liga Awami itu sebagai tidak sah, di luar perlembagaan dan melanggar undang-undang.
Pemimpin parti tersebut, Shafiqur Rahman menafikan kenyataan kerajaan yang menuduh Jamaat sebagai punca tercetusnya keganasan.
Keputusan mahkamah pada 2013 melarang Jamaat daripada bertanding dalam pilihan raya, berikutan pendaftarannya sebagai parti politik bertentangan dengan perlembagaan sekular negara itu.
Bangladesh menutup perkhidmatan internet dan mengerah tentera untuk menguatkuasakan perintah berkurung di seluruh negara, ketika demontrasi meluas sejak tercetus pada Jun lepas.
Kira-kira 150 orang maut, manakala ribuan yang lain cedera apabila pasukan keselamatan melepaskan peluru getah, gas pemedih mata dan bom tangan untuk menyuraikan puluhan ribu penunjuk perasaan di jalanan.