Bangladesh akan mohon ekstradisi Sheikh Hasina dari India

Agensi
September 9, 2024 17:45 MYT
Hasina melarikan diri ke India pada 5 Ogos selepas pemberontakan ganas terhadapnya menyebabkan ratusan orang terbunuh termasuk pelajar - Foto/REUTERS
INDIA: Kerajaan sementara Bangladesh akan memohon ekstradisi terhadap bekas Perdana Menteri Sheikh Hasina dari India selepas beliau melarikan diri dari negara itu akibat protes ganas bulan lepas.
Memetik laporan AFP, Ketua Tribunal Jenayah Antarabangsa Bangladesh (ICT), Mohammad Tajul Islam menuduh Hasina melakukan pembunuhan beramai-ramai.
"Kerana pelaku utama telah melarikan diri dari negara ini, kami akan memulakan prosedur undang-undang untuk membawanya pulang," katanya memetik laporan tersebut.
Perkembangan tersebut menyusul selepas Menteri Luar India, Mohammad Touhid Hossain berkata bahawa negara itu "terpaksa meminta kepulangannya" kerana Hasina menghadapi banyak kes.
Hasina melarikan diri ke India pada 5 Ogos lalu selepas pemberontakan ganas terhadapnya menyebabkan ratusan orang terbunuh termasuk pelajar.
Bangladesh mempunyai perjanjian ekstradisi jenayah dengan India yang ditandatangani pada 2013, ketika kerajaan Hasina memerintah, tambah Mohamad Tajul.
"Kerana beliau telah dijadikan tertuduh utama dalam pembunuhan beramai-ramai di Bangladesh, kami akan cuba membawa beliau kembali secara sah ke Bangladesh untuk menghadapi perbicaraan," tambahnya.
Laporan awal Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan lebih 600 orang telah terkorban dalam minggu-minggu sebelum penggulingan Hasina.
#Protes Bangladesh #Sheikh Hasina #Ekstradisi Sheikh Hasina dari India #Ketua Tribunal Jenayah Antarabangsa Bangladesh
;