Bangkok sepi warga kota pulang ke kampung sempena tahun baharu
Bernama
Disember 29, 2023 23:14 MYT
Disember 29, 2023 23:14 MYT
BANGKOK: Menjelang Tahun 2024, Bangkok mengalami fenomena biasa - penduduk memulakan perjalanan balik ke kampung halaman masing-masing.
Cuti Tahun Baharu empat hari yang bermula pada Jumaat, menyaksikan sejumlah besar kereta dan bas di jalan raya, kesemuanya menuju ke luar kota di seluruh negara.
Jalan di Bangkok yang lazimnya sibuk dengan orang ramai dan kenderaan serta jualan makanan jalanan, kini mula sunyi dan trafik bergerak lebih lancar.
Berikutan perjalanan keluar kota, stesen bas di Bangkok dibanjiri penumpang.
"Saya menantikan saat ini sepanjang tahun. Tidak sabar untuk menyambut Tahun Baharu bersama orang tersayang," kata Natcha Paimwattathaporn, 33, yang menaiki kereta api di Terminal Sentral Krung Thep Aphiwat (Stesen Besar Bang Sue) ke kampung halamannya di Chiang Mai.
Menurutnya perjalanan pulang memberi peluang untuknya bertemu ahli keluarga.
"Kami biasanya berkumpul untuk menyantuni orang tua, melawat kuil dan menikmati hidangan lazat," katanya.
Syarikat Pengangkutan yang dikendalikan kerajaan menjangkakan kira-kira 70,000 penumpang hari ini (Jumaat) pulang sempena tahun baharu.
Syarikat itu mengendalikan 4,000 perjalanan tambahan setiap hari antara Bangkok dan wilayah lain di negara itu pada hujung minggu tahun baharu.
State Railway of Thailand berkata lebih 90,000 penumpang memulakan perjalanan ke destinasi masing-masing pada Jumaat.
Sementara itu, Presiden Airports of Thailand Public Company Limited (AOT) Keerati Kitmanawat berkata dianggarkan 2.65 juta penumpang atau purata 379,860 penumpang sehari akan terbang dari enam lapangan terbang utama Thailand bermula hari ini hingga 1 Jan.
Enam lapangan terbang yang diurus oleh Airports of Thailand (AOT) itu ialah Suvarnabhumi, Don Mueang, Chiang Mai, Phuket, Hat Yai dan Chiang Rai.
AOT akan mengendalikan sejumlah 15,152 penerbangan dalam tempoh itu atau purata 2,165 penerbangan sehari.
-- BERNAMA