Bangkok dijangka tenggelam dalam tempoh dua dekad

Astro Awani
Julai 23, 2015 16:18 MYT
Bangkok yang hanya berkedudukan 0.5 dan dua meter di atas paras laut sedang dinaiki air pada kadar 10 milimeter (mm) setahun. - Gambar fail
Ibu negara Thailand dijangka tenggelam dalam tempoh dua dekad berikutan perkembangan kenaikan paras air laut, menurut laporan terbaru Jawatankuasa Reformasi Nasional (NRC) negara itu.
Memetik laporan portal berita ChannelNewsAsia.com, pihak NRC menggesa kerajaan Thailand menubuhkan jawatankuasa nasional untuk menguruskan masalah serius yang dihadapi Bangkok.
Pembinaan bangunan pencakar langit melebihi 20 tingkat dan pembangunan industri di Bangkok dipercayai menyumbang kepada masalah penenggelaman ibu negara tersebut.
Sementara itu, pakar sumber air berkata Bangkok yang hanya berkedudukan 0.5 dan dua meter di atas paras laut sedang dinaiki air pada kadar 10 milimeter (mm) setahun.
Selain pembangunan urban dan projek-projek infrastruktur mega dipercayai menambah ‘beban’ tanah Bangkok, terdapat juga kebimbangan mengenai penggunaan bekalan air bawah tanah yang tidak terkawal lantas meningkatkan permasalahan tersebut.
Hal itu diburukkan lagi dengan cuaca kemarau paling teruk dalam tempoh berdekad-dekad, dengan rizab air tersebut telah digunakan dengan banyak untuk dijadikan air minuman darurat.
NRC telah mencadangkan beberapa langkah untuk mengatasi masalah tersebut, termasuk melakukan reformasi dalam pembangunan urban selain memperbaiki pengurusan sumber air.
Pihaknya juga telah menyuarakan penyelesaian drastik. Seperti memindahkan lokasi ibu negara atau membina tembok penghadang laut di Teluk Siam yang menlan belanja kira-kira AS$14.3 bilion (RM54.4 bilion).
Dalam perkembangan berkaitan di Washington pada Rabu, penyelidik kesan pemanasan global Dr. James Hansen turut menyatakan kebimbangan dalam satu pembentangan laporan terbaru mengenai kenaikan paras air laut dunia.
Menurutnya yang juga bekas saintis terkemuka Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA), kenaikan suhu dunia setakat 2 darjah Celsius sudah cukup untuk menjadikan populasi manusia di dunia ini berdepan bahaya ancaman besar.
Dalam kajiannya, pasukan penyelidik telah menemui bukti bahawa kenaikan suhu purata sebanyak 1 darjah Celsius pada hari ini telah menyebabkan paras air laut meningkat antara 16 hingga 30 kaki ribuan tahun dahulu selain berlaku ribut dahsyat.
#Bangkok #laut #paras air #tenggelam
;