Bangkok bersedia untuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-35
Bernama
Oktober 31, 2019 21:04 MYT
Oktober 31, 2019 21:04 MYT
Thailand sedang membuat persiapan terakhir bagi Sidang Kemuncak Asean ke-35 dan Mesyuarat berkaitan yang bakal mengumpulkan semua pemimpin di rantau ini bagi menghadiri mesyuarat tahunan itu bermula 2 Nov ini.
Sidang kemuncak dan mesyuarat yang akan berlangsung selama tiga hari itu akan diadakan di IMPACT Exhibition and Convention Centre di Nonthaburi, Bangkok.
Tinjauan Bernama di sekitar lokasi seluas 140,000 meter persegi hari ini mendapati kawalan keselamatan diperketatkan di sebalik persiapan terakhir yang sedang dilakukan menjelang sidang kemuncak itu.
Mesyuarat akan didakan di tiga lokasi iaitu IMPACT Challenger, pusat pameran dan IMPACT Forum.
Kawalan keselamatan juga dipertingkatkan di sekitar pusat bandar dengan anggota keselamatan kelihatan di beberapa kawasan utama termasuk hotel, pusat membeli belah dan stesen Metro.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang dijangka tiba esok, mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat itu.
Delegasi Malaysia turut terdiri daripada Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking.
Selain pemimpin dari 10 negara anggota Asean, sidang kemuncak itu juga akan dihadiri pemimpin dari negara rakan antaranya Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe, Presiden Korea Selatan Moon Jae-in, Perdana Menteri China Li Keqiang dan Perdana Menteri Australia Scott Morrison.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Antonio Guterres dan Ketua Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Christine Lagarde akan turut menghadiri sidang kemuncak itu.
Sementara itu, White House dalam kenyataan pada Selasa mengumumkan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump tidak akan menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-35.
Beliau akan diwakili Penasihat Keselamatan Negara Robert O'Brien dan Setiausaha Perdagangan Wilbur Ross.
Pemerhati menganggap mesyuarat kali ini penting dengan harapan yang tinggi terhadap anggota kumpulan negara serantau dan enam rakan FTA (Australia, China, India, Jepun, New Zealand dan Korea Selatan) untuk memuktamadkan rundingan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).
RCEP yang diperkenalkan pada 2012 semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-21 di Kemboja, dijangka ditandatangani tahun hadapan jika rundingan berjaya, menjadikannya pakatan perdagangan terbesar di rantau ini dengan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak US$49.5 trilion, yang merupakan 39 peratus daripada KDNK dunia.
-- BERNAMA
#Bangkok
#IMPACT Challenger
#IMPACT Exhibition and Convention Centre
#IMPACT Forum
#Mahathir Mohamad
#Menteri Luar
#Nonthaburi
#Perdana Menteri
#Saifuddin Abdullah
#Sidang Kemuncak ASEAN