Bangkai ikan paus sperma terdampar di Pantai Wadumaddi
Astro Awani
April 9, 2022 12:10 MYT
April 9, 2022 12:10 MYT
NUSA TENGGARA TIMUR: Seekor ikan paus sperma (Physeter macrocephalus) sepanjang 9 meter telah ditemui mati terdampar di Pantai Wadumaddi, Pulau Sabu, yang terletak di Daerah Sabu Raijua, lapor Agensi Berita Indonesia (Antara)
Menurut laporan itu, ikan paus sperma tersebut dijumpai pada malam Khamis, di kawasan persisiran pantai berdekatan Bukit Salju, yang merupakan salah satu kawasan tarikan pelancong.
“Ketika dijumpai, ia sudah pun dalam keadaan mereput,” kata Ketua Kawasan Konservasi Air Negara (BKKPN) Kupang, Imam Fauzi.
Beliau berkata, pihak BKKPN telah menggerakkan anggotanya untuk memeriksa keadaan bangkai ikan paus tersebut, termasuk mengambil sample DNA untuk tujuan kajian.
Tambahnya lagi, ikan paus sperma itu berkemungkinan besar sudah mati di lautan sejak beberapa hari lepas, dan bangkainya dihanyutkan ombak sehingga ke Kampung Wadumaddi, di daerah Hawu Mehara.
Selepas pengukuran dilakukan dan sampel DNA diambil, Imam berkata, pihak BKKPN akan menanam bangkai tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Sabu Raijua, Jakob Seubelan berkata, penduduk tempatan akan mengadakan upacara khas tradisional sebelum bangkai itu ditanam.