Banduan lari dari penjara selama 29 tahun, akhirnya serah diri sebab tiada kerja akibat pandemik
Agensi
Oktober 29, 2021 18:00 MYT
Oktober 29, 2021 18:00 MYT
SYDNEY: Seorang banduan berusia 64 tahun yang diburu selama hampir 30 tahun sejak melarikan diri dari hukuman penjara, akhirnya menyerah diri kepada pihak polis berikutan perintah sekatan pergerakan di Sydney membuatkannya kehilangan kerja dan tidak mempunyai rumah.
Agensi berita AP melaporkan, lelaki itu dikenakan tambahan hukuman penjara selama dua bulan pada Khamis lalu.
Darko Desic kembali dalam kawalan pihak berkuasa apabila dia secara sukarela memasuki balai polis di kawasan pinggir bandar Dee Why dan mengaku telah melarikan diri dari Penjara Grafton pada tahun 1992.
Dia mengaku salah kerana berbuat demikian dan kini dikembalikan ke penjara untuk menjalani baki hukuman penjara 14 bulan daripada 33 bulan, atas kesalahan menanam pokok ganja.
Dalam mahkamah di Sydney, Majistret Jennifer Atkinson berkata, dia tidak mempunyai pilihan selain mengenakan tambahan tempoh hukuman penjara kerana melarikan diri.
Atkinson berkata, dia ambil maklum bahawa Desic melarikan diri akibat terlalu takut dia akan dihantar kembali ke negaranya yang ketika itu dikenali sebagai Yugoslavia, dan dipaksa menyertai tentera dalam perang tahun 1991-1995.
Di luar mahkamah, peguam bela Paul McGirr memberitahu, Desic pernah menerima surat dari Angkatan Sempadan Australia yang menyatakan bahawa dia akan dihantar pulang sejurus dibebaskan dari penjara.
“Fahamilah, dalam fikirannya, dia sedar negara asalnya sudah tiada. Harap ada yang mengerti sentimen ini,” ujar McGirr.
Masih belum dipastikan ke mana Desic akan dihantar pulang selepas menjalani hukumannya, memandangkan dia bukan warga negara Australia.
Desic melarikan diri dari penjara ketika berusia 35 tahun, dengan menggunakan perkakasan khas untuk memotong jeriji besi di jendela biliknya. Dia sebelum itu menemui alat memotong itu di kawasan pusat tahanan berkenaan.
Sejak itu dia menghabiskan masa selama tiga dekad di kawasan pesisiran pantai dan membuat pelbagai kerja rencam. Mengikut rekod, dia juga tidak pernah melakukan sebarang bentuk jenayah sejak lari dari penjara.
“Dia dikenali orang tempatan sebagai orang yang rajin bekerja dan baik hati,” kata McGirr.