Banduan di Bolivia berpeluang kurangkan tempoh penjara jika rajin baca buku
Agensi
Mei 8, 2022 13:33 MYT
Mei 8, 2022 13:33 MYT
PENGHUNI penjara di Bolivia telah diberi pilihan baharu sekiranya mahu mengurangkan tempoh hukuman mereka. Jika hendak dibebaskan lebih awal, mereka perlu rajin membaca buku.
Program yang diperkenalkan kerajaan itu disebut sebagai ‘Buku di sebalik jeriji besi’. Ia menawarkan banduan peluang untuk keluar dari penjara lebih awal beberapa hari atau minggu berbanding tarikh yang ditetapkan.
Mengambil inspirasi dari sebuah program yang seumpamanya di Brazil, matlamatnya adalah untuk meningkatkan tahap literasi, lapor Reuters.
Ia juga bermakna, untuk memberi harapan baharu kepada banduan yang berdepan proses penghakiman Bolivia yang sangat lambat.
Program tersebut telah dilancarkan di 47 buah penjara di seluruh negara itu, terutamanya penjara yang tidak mempunyai dana untuk membimbing aspek pendidikan atau bantuan sosial kepada tahanannya.
Setakat ini, 85 orang banduan sudah turut serta dalam program berkenaan. Salah seorang daripadanya ialah Jaqueline.
“Memang sukar bagi orang seperti kami yang tidak punya pendapatan dan tidak memiliki keluarga di luar penjara. Ada orang di sini, sebagai contoh, hanya mahu belajar membaca dan menulis,” ujarnya yang sduah menghabiskan lapan buah buku dan telah lulus empat ujian membaca.
Kumpulan hak asasi manusia berkata, penjara di Bolivia sangat sesak dan tidak mempunyai persekitaran sihat. Sesetengah banduan juga sudah berani bersuara tentang kekurangan rawatan kesihatan.
Dengan kesukaran yang dihadapi, kelebihan membaca adalah seumpama melepaskan diri dari dikekang dinding penjara, sekurang-kurangnya untuk ketenangan minda.
“Apaila saya membaca, saya berhubung dengan seluruh alam semesta… tembok dan jeriji besi pun menghilang,” ujar Mildred, tahanan di penjara wanita Obrajes di La Paz.