Banduan China bolos dari penjara Indonesia ikut longkang
Agensi
September 22, 2020 11:13 MYT
September 22, 2020 11:13 MYT
Polis Daerah Metro Jaya sedang mengesan seorang banduan dipercayai tokan dadah yang telah melarikan diri dari penjara Institusi Pembetulan Kelas 1 (Lapas) Kota Tangerang, Banten, Indonesia, sejak Jumaat lepas.
Dia dipercayai menggali lubang dari dalam perimeter penjara, sebelum akhirnya memboloskan diri ke satu saluran air.
Melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) penjara, banduan itu dilihat keluar dari longkang bersebelahan penjara dan kemudian berjalan seperti biasa bagi mengelakkan dirinya dicurigai masyarakat.
"Memang benar ada banduan China yang melarikan diri daripada kes dadah. Kami akan memburu sesiapa yang terlibat," kata Ketua Perhubungan Awam Polda Metro Jaya Yusri Yunus kepada wartawan Kompas pada Ahad.
Yusri berkata, ketika ini polis sedang bekerjasama rapat dengan Penjara Kota Tangerang untuk mengesan banduan itu.
"Inilah masanya kita akan berkoordinasi dan mengejar, petunjuknya ada di sana," kata Yusri, seperti dilaporkan Kompas.
Cai Changpan @ Cai Ji Fan dilaporkan telah melarikan diri dari Penjara Kelas 1 di Bandar Tangerang.
Ketua Penjara Kelas I Tangerang, Jumadi, memberitahu media bahawa Cai Changpan melarikan diri dengan mengikut paip saluran air ke luar penjara berkenaan.
Jumadi bagaimanapun tidak memaklumkan masa dan kronologi yang tepat mengenai kejadian itu.
Siasatan masih dijalankan termasuk pemeriksaan ke atas setiap penghuni penjara.
#banduan
#banduan lari
#Cai Changpan
#CCTV
#Dadah
#Indonesia
#penjara
#Polis Daerah Metro Jaya
#warga china