Banduan berbogel di penjara Filipina cetus kemarahan kumpulan hak asasi manusia

Agensi
Mac 4, 2017 12:06 MYT
Salah satu foto dari penjara Cebu yang diedarkan pihak penjara dan pejabat Polis Daerah Cebu. - Foto: Edaran Polis Daerah Cebu
Beberapa keping gambar menunjukkan beratus-ratus banduan di Filipina sedang duduk dalam keadaan berbogel sewaktu pemeriksaan barangan seludup, telah mencetus dakwaan pencabulan hak asasi manusia.
AFP melaporkan, gambar tersebut meningkatkan lagi kemarahan umum tentang penyalahgunaan kuasa dalam kempen peperangan membanteras najis dadah yang diketuai Presiden Rodrigo Duterte.
Banduan-banduan Penjara Daerah Cebu dikejutkan dari tidur pada awal pagi sebelum terbit matahari, dan diminta berkumpul di kawasan terbuka di tengah-tengah kompleks penjara.
Mereka seterusnya diminta menanggalkan semua pakaian untuk diperiksa anggota-anggota antidadah, polis dan tentera, kata pegawai penjara Rafael Espina.
Gambar-gambar yang diedarkan oleh Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina dan polis daerah itu menunjukkan banduan-banduan yang duduk di lantai dalam keadaan telanjang bulat, di kawasan yang diterangi lampu limpah, serta dikawal ketat oleh anggota keselamatan.
Agensi penguatkuasaan tersebut memberitahu, pihaknya berjaya menjumpai beberapa bungkus metamfetamin dan daun ganja, selain pisau dan telefon bimbit.
Sejurus gambar-gambar itu tersebar di media sosial, kumpulan hak asasi manusia menyuarakan kebimbangan.
“Insiden ini suatu kezaliman, tidak berperikemanusiaan dan merendahkan tahap layanan ke atas banduan,” ujar Amnesty International dalam satu kenyataan.
Amnesty turut memetik piawaian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang Filipina berkaitan tanggungjawab pihak berkuasa untuk memastikan banduan tidak didera atau dilayan secara tidak baik.
Human Rights Watch juga berkata, standard antarabangsa melarang pemeriksaan yang tidak wajar hingga mencabul privasi banduan.
Jurucakap Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina Derrick Carreon berkata, kaedah pemeriksaan tersebut adalah atas arahan gabenor daerah dan pengawal keselamatan.
Pegawai Perhubungan Awam Daerah Jethro Bacolod pula memberitahu, pemeriksaan dalam keadaan bogel itu mengikut prosedur operasi standard (SOP) untuk mendapatkan barangan terlarang.
Tambahnya, warden-warden penjara sebelum ini telah dipecat kerana membiarkan barangan terlarang itu bebas dimiliki dalam kalangan banduan.
#banduan #banduan bogel #hak asasi manusia #penjara filipina
;