Bandar London paling sesak di dunia
Astro Awani
Januari 10, 2023 07:15 MYT
Januari 10, 2023 07:15 MYT
LONDON: Untuk dua tahun berturut-turut, London disenaraikan sebagai bandar paling sesak di seluruh dunia.
Ia mendahului 1,000 bandar lain dari 50 negara.
Kesesakan tersebut turut menyebabkan tempoh masa yang hilang akibat kesesakan di bandar tersebut adalah lima peratus melebihi paras prapandemik.
Datuk Bandar London, Sadiq Khan menyifatkan penyenaraian tersebut sebagai amaran penting untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas sekali gus dapat menambah baik kualiti udara.
"Saya rasa ini adalah peringatan tentang kepentingan untuk mengurangkan kesesakan, mengurangkan karbon dan meningkatkan kualiti udara juga.
"Itulah sebabnya kami mengembangkan zon pelepasan ultra-rendah untuk meliputi seluruh London kerana ia akan mengurangkan bilangan kereta di jalan raya kita.
"Ini bermakna mereka yang perlu menggunakan jalan raya seperti ambulans, jentera bomba, tukang paip dan juruelektrik.
"Kami menggalakkan orang ramai untuk berjalan kaki, berbasikal dan menggunakan pengangkutan awam untuk membebaskan jalan raya bagi mereka yang memerlukannya," katanya.
Pada masa sama, beliau menggesa orang awam untuk menggunakan perkhidmatan awam yang lain termasuk kereta api bawah tanah.
Sementara itu di tempat kedua sebagai lokasi paling sesak ialah Chicago, Amerika Syarikat (AS) di mana kebanyakan pemandu menghabiskan masa dengan purata 155 jam di jalan raya.
Ia disusuli Paris, Perancis dengan 138 jam dan Boston, AS, 134 jam.
Untuk rekod sebelum ini, London disenaraikan sebagai bandar kelapan paling sesak di dunia pada 2019.