Bandar di Australia 'diserang' labah-labah
Madiha Abdullah
Mei 18, 2015 09:38 MYT
Mei 18, 2015 09:38 MYT
Sebuah bandar kecil di Australia bertukar rupa apabila diserang ribuan labah-labah.
Menurut laporan The Mirror, Bandar Goulburn yang terletak di selatan Australia itu, kelihatan seperti sebuah lokasi penggambaran filem seram, dengan labah-labah dilihat bersarang di merata sudut bandar itu.
Penduduk tempatan berkata jumlah sarang labah-labah yang banyak itu hampir menutup sinaran matahari. Malah, mereka juga mendakwa labah-labah akan bersarang di segenap sudut, termasuklah rambut manusia.
"Anda tak akan dapat keluar rumah tanpa dihurung labah-labah. Bukan setakat rambut, malah janggut saya juga 'dihuni' labah-labah," kata seorang penduduk.
Fenomena ini merupakan situasi biasa di bandar tersebut, terutama ketika pertengahan tahun. Dalam waktu ini, labah-labah akan bermigrasi dari satu lokasi ke lokasi lain, dengan cara membina sarang di pokok dan apa sahaja yang ditemui di sepanjang laluannya.