Bandar-bandar utama di AS berdepan bantahan ganas

Astro Awani
Jun 1, 2020 08:14 MYT
Orang ramai mengadakan tunjuk perasaan menentang tindakan polis dalam kes kematian George Floyd di Saint Paul, Minnesota, AS, 31 Mei, 2020. REUTERS
BANDAR-bandar utama di Amerika Syarikat (AS) berdepan dengan bantahan ganas oleh ribuan penunjuk perasaan yang marah dengan kekerasan dilakukan polis sehingga membawa kepada kematian lelaki berkulit hitam, George Floyd.
Perintah berkurung yang dikuatkuasakan di beberapa bandar utama di AS nyata gagal untuk menyekat dan meredakan kemarahan sebahagian rakyat dan kumpulan aktivis kepada pihak berkuasa undang-undang negara itu.
Kebanyakan protes yang bermula aman bertukar ganas akibat perbezaan politik dan sentimen warna kulit.
Situasi di AS yang tenang sejak beberapa minggu lalu akibat pelaksanaan perintah berkurung akibat jangitan COVID-19 tidak menyekat ribuan penunjuk perasaan untuk turun di jalanan bagi menyatakan kemarahan mereka.
Situasi itu lebih meruncing ketika AS sedang berdepan dengan berjuta-juta pekerja yang kehilangan pekerjaan selepas ekonomi negara itu terhenti akibat pandemik COVID-19.
Dalam pada itu, golongan yang begitu terkesan adalah kumpulan rakyat minoriti di negara itu.
Ketika kemuncak keganasan pada hujung minggu, puluhan kedai dipecahkan, banyak kerosakan berlaku, manakala ratusan penunjuk perasaan ditangkap dan polis melepaskan peluru getah dan gas pemedih mata untuk menyuraikan bantahan.
Gabenor New York Andrew Cuomo dalam masa yang sama, turut menjangkakan protes akan bertambah buruk pada Ahad dan meningkatkan penguatkuasaan termasuk daripada pengawal kebangsaan.
“Isu besar di sini adalah orang sangat marah. dan saya juga sangat marah. Ini bukan sahaja berkenaan pembunuhan George Floyd. Ia juga berkenaan Ahmaud Arbery, Breonna Taylor.
“Semua ini berlaku dalam tiga bulan. Ia juga adalah berkenaan Rodney King, Amadou Diallo, Sean Bell dan Abner Louima. Semua ini berlaku di semua negeri di negara ini.
“Isu sebenar adalah rasisme yang berterusan di AS. Ia adalah kronik, wujud dalam komuniti ini dan dalam institusi selain menggambarkan kepura-puraan yang berlaku selama ini.
"AS sangat bagus dalam menjelaskan bagaimana orang lain harus hidup dan bertindak. Kita gesa satu standard yang tinggi untuk negara lain. Namun kita masih lagi diskriminasi berdasarkan warna kulit. Ini adalah kenyataannya,” tegasnya.
Dalam pada itu, Ahli Kongres, Ilhan Omar berkata, tunjuk perasaan ini adalah manifestasi kepada apa yang berlaku di AS selama ini antara penguatkuasa undang-undang dan etnik kulit hitam serta minoriti.
“AS kini dalam kesakitan. Orang tidak dapat melupakan imej George Floyd dicekik sehingga mati oleh pegawai polis yang sepatutnya melindungi komuniti kita.
“Ini juga adalah peringatan yang kita selama ini hidup di dalam negara yang telah melakukan keganasan ke atas etnik kulit hitam, daripada penghambaan kepada segregasi kulit hitam kepada hukuman penjara sehinggalah sekarang, keganasan polis,” ujarnya.
#Amerika Syarikat #AS #COVID-19 #diskriminasi #ekonomi #ganas #George Floyd #Ilhan Omar #keganasan #kulit hitam #mati #New York #penjara #polis #politik #protes #rakyat #tunjuk perasaan #undang-undang #warna kulit
;