Ban Ki-moon ucap selamat tinggal kepada PBB

Agensi
Disember 31, 2016 11:43 MYT
Ban Ki-moon mengibaratkan pengalaman hebat selama dua penggal di jawatan tertinggi PBB itu sebagai sebuah kisah dongeng. - Foto AFP
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon yang melepaskan jawatan itu setelah dua penggal memikul tanggungjawab, diraikan dalam majlis perpisahan dengan organisasi dunia itu pada Jumaat (30 Disember), lapor AFP.
Beliau menyifatkan perkhidmatannya dengan PBB sebagai suatu kisah dongeng.
“Saya rasa seperti Cinderella. Esok (Sabtu) selepas tengah malam semuanya berubah!” selorohnya kepada para pekerja organisasi dan rakan pejabatnya mengenai tempoh sedekad yang ditempuhinya menyandang jawatan itu.
Bermula Ahad, bekas perdana menteri Portugal Antonio Guterres, 67, akan mengambil alih.
Guterres merupakan ketua kerajaan pertama yang akan mengetuai PBB, dengan penggal perkhidmatan selama lima tahun.
Ban, dalam kenyatan yang lebih serius, menyatakan bahawa kepercayaan yang diberikan kepadanya dalam PBB suatu penghormatan besar, lebih-lebih lagi kerana melibatkan pengurusan konflik dan penderitaan global.
Beliau juga menghargai kerjasama setiap orang yang terlibat dalam misinya.
“Anda sepatutnya berasa bangga, sama seperti saya yang berbangga menganggap anda sebagai rakan setugas,” ujar diplomat Korea Selatan itu.
Sepanjang bersama PBB, Ban berkata dia telah berusaha untuk tidak putus asa, terus berharap, percaya dan bekerja keras hingga mencapai kemajuan.
Tambah beliau, tanggungjawabnya juga diiringi keinginan untuk terus fokus terhadap hak dan maruah manusia, selain memperjuangkan golongan terpinggir.
Sebagai tugas pertama setelah melepaskan jawatan tertinggi PBB itu, Ban diberi penghormatan untuk membunyikan loceng di Times Square, New York dalam acara rasmi sebagai tradisi menyambut kedatangan tahun baharu.
"Malam esok (malam ini), di ambang tahun baharu, saya akan berada di Times Square. Jutaan orang akan menyaksikan saya kehilangan kerja,” beliau berjenaka.
#Ban Ki-Moon #diplomat Korea Selatan #PBB #Setiausaha Agung
;