Ban Ki-moon rayu kerajaan dunia kongsi beban ambil pelarian

AFP
April 20, 2015 11:26 MYT
Sebuah bot membawa pendatang tiba di pelabuhan Messina di Sicily, Itali berikutan satu operasi menyelamat di lautan pada 18 April, 2015. - Foto AFP/Giovanni Isolino
Setiausaha Agung Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon pada Ahad merayu kepada kerajaan-kerajaan dunia untuk berkongsi beban dalam mengambil pelarian.
Ini berikutan tragedi bot karam di Mediterranean pada Sabtu yang melibatkan lebih 700 pendatang dikhuatiri maut.
Ban “terkejut dan amat sedih” dengan laporan insiden bot karam di luar perairan Libya berdekatan Malta, yang merupakan insiden terbaru dari beberapa kes bot karam yang terjadi sejak minggu lalu.
“Saya merayu kepada masyarakat antarabangsa untuk bersatu dan berkongsi beban dalam menghadapi krisis ini,” kata jurucakapnya dalam sebuah kenyataan.
Sekurang-kurangnya 1,600 orang telah terkorban tahun ini dalam cubaan mereka untuk menyeberangi lautan Mediterranean, menjadikannya “laluan dunia yang paling dahsyat digunakan oleh pendatang,” katanya lagi.
Katanya, kerajaan bukan sahaja harus meningkatkan usaha keselamatan di laut tetapi juga memastikan hak bagi mereka yang melarikan diri dari perang,” tambahnya.
Eropah mengalami kebanjiran pendatang dari Timur Tengah dan Afrika yang melarikan diri dari kemiskinan dan perang.
#Ban Ki-Moon #bot karam #Libya #PBB #pelarian #pendatang #suaka
;