Balik kampung, aktiviti ziarah cetus kluster lebaran di Jakarta
Agensi
Mei 21, 2021 22:28 MYT
Mei 21, 2021 22:28 MYT
JAKARTA: Sejumlah penduduk di Jakarta dan sekitarnya dijangkiti COVID-19 susulan pergerakan pulang ke kampung dan aktiviti ziarah ketika sambutan hari raya.
Ketua Polis Johar Baru, Kompol Edison, mendedahkan sebuah keluarga yang terdiri daripada empat orang adalah kes indeks kepada kluster lebaran itu.
"Tiga daripada mereka dibawa ke hospital untuk menjalani kuarantin, sementara seorang bayi dikuarantin di rumahnya," kata Edison kepada portal Kompas.
Sementara itu, Wakil Ketua Daerah Johar Baru, Dicky Suherlan, memaklumkan pihaknya masih melakukan pengesanan dan ujian saringan terhadap penduduk yang baru pulang dari kampung halaman mereka.
Kawasan sekitar kediaman penduduk yang didapati positif juga telah disanitasi.
Di daerah Cilangkap, di Jakarta Timur, seramai 80 orang disahkan positif COVID-19.
Jumlah ini bertambah berbanding hari sebelumnya yang merekodkan 51 penduduk dari 16 keluarga dilaporkan positif.
Susulan itu, perintah berkurung telah dilaksanakan sejak Rabu lalu dengan semua masjid, ruang solat dan gerai makanan juga ditutup.