Bali jadi sasaran utama sindiket dadah antarabangsa - BNN

Bernama
Julai 24, 2024 10:30 MYT
BNN berkata, Bali sepatutnya menjadi istimewa untuk Indonesia kerana industri pelancongan yang bertaraf dunia. - Gambar hiasan/ Unsplash
GIANYAR: Badan Narkotik Nasional (BNN) mengeluarkan amaran bahawa Bali telah menjadi sasaran utama sindiket dadah antarabangsa, dibuktikan dengan serbuan ke atas dua makmal haram pada Mei dan Julai 2024, lapor Agensi Berita ANTARA.
Ketua Pesuruhjaya BNN Jeneral Marthinus Hukom menyatakan bahawa penemuan itu menunjukkan kehadiran rangkaian pengedaran dadah yang membimbangkan di Bali.
"Penemuan ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia merupakan amaran bagi Bali dan wilayah lain di Indonesia memandangkan sindiket dadah antarabangsa mungkin menyasarkannya sebagai lokasi makmal haram," katanya.
Makmal pertama yang ditemukan pada 13 Mei, mengusahakan tanaman ganja secara hidroponik dan dikendalikan oleh dua warga Ukraine serta seorang warga Rusia di sebuah vila di Tibubeneng, Daerah Badung.
Makmal kedua pula ditemukan pada 18 Julai di sebuah vila yang disewa di Kampung Keliki Kawan, Mukim Payangan, Daerah Gianyar, menghasilkan dimethyltryptamine (DMT), sejenis dadah halusinogen.
Marthinus berkata semasa serbuan, pegawai BNN menahan tiga warga Filipina manakala seorang warga Jordan dikenali sebagai AMI, sedang diburu.
Menurut beliau, Bali sepatutnya menjadi istimewa untuk Indonesia kerana industri pelancongan yang bertaraf dunia.
Beliau sehubungan itu menekankan keperluan melindungi Bali daripada ancaman berterusan raja dadah tempatan dan antarabangsa.
Sementara itu, timbalan penguatkuasa undang-undang BNN, Insp. Jeneral I Wayan Sugiri menyatakan bahawa tiga warga Filipina yang ditahan semasa serbuan di makmal haram kedua dikenal pasti dengan nama sebagai DAS, seorang lelaki berusia 28 tahun; PMS, ibu kepada DAS dan DOS, adik perempuan kepada DAS.
Menurut beliau, DAS berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup atas kesalahan itu.
--BERNAMA-ANTARA
#Bali #sindiket dadah antarabangsa #pusat pelancongan #badan narkotik