Bali Indonesia bakal dibuka semula kepada pelancong antarabangsa

Bernama
Oktober 13, 2021 14:37 MYT
Pelancongan di Bali kembali pulih dalam beberapa minggu terakhir berikutan semakin banyak pelancong domestik datang dengan kadar penginapan hotel meningkat 35 peratus. - Gambar fail/REUTERS
JAKARTA: Pulau peranginan Indonesia, Bali bakal dibuka semula kepada pelancong antarabangsa pada Khamis.
Sebanyak 8,000 bilik di 35 hotel tiga hingga lima bintang telah disediakan untuk kegunaan kuarantin dan penginapan semasa pelancong antarabangsa berada di pulau itu, kata Ketua Persatuan Hotel dan Restoran Indonesia Hariyadi Sukamdani.
"Kami telah membuat persiapan ini selama 19 bulan dengan penuh teliti. Kami telah bersedia menyambut tetamu antarabangsa, " kata Sukamdani kepada Xinhua pada Isnin.
Sukamdani menganggarkan pada fasa awal hanya sekitar 2,000 bilik akan digunakan, tetapi jumlahnya akan bertambah jika lebih ramai pengunjung yang datang.
"Pelancongan di Bali kembali pulih dalam beberapa minggu terakhir berikutan semakin banyak pelancong domestik datang dengan kadar penginapan hotel meningkat 35 peratus," kata Sukamdani.
Perkembangan itu berlaku berikutan penurunan ketara kes COVID-19 baharu harian Indonesia dalam beberapa hari terakhir.
Dengan kelonggaran sekatan pergerakan awam itu, pusat beli-belah, pawagam dan restoran dibenarkan kembali beroperasi. Kerajaan turut mempercepat program vaksinasi.
Timbalan Gabenor Bali Tjokorda Oka Sukawati mengatakan beribu-ribu kemudahan pelancongan yang menarik, termasuk restoran, hotel dan pusat beli-belah di pulau peranginan itu sudah bersedia menyambut ketibaan pelancong asing dengan pematuhan protokol kesihatan yang ketat.
Sementara itu, 99 peratus penduduk Bali telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 dan 80 peratus telah mendapat dos kedua.
Sukawati berharap pembukaan semula pulau itu dapat menghidupkan kembali sektor pelancongan yang pada 2019 menyumbang 53 peratus daripada pendapatan wilayah ini.
Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan Luhut Binsar Pandjaitan mengatakan pelancong asing yang datang dari negara-negara dengan kadar positif COVID-19 kurang lima peratus dan mereka yang telah diberi vaksin lengkap COVID-19 dibenarkan berkunjung ke Bali.
Selagi ujian COVID-19 mereka negatif dalam tempoh 72 jam sebelum berangkat ke Indonesia dan mempunyai bukti tempahan penginapan, para pelancong dibenarkan mengunjungi Indonesia.
"Mereka juga mesti mempunyai insurans kesihatan dengan nilai perlindungan minimum US$100,000, termasuk pembiayaan untuk menangani COVID-19," jelas Pandjaitan.
"Mereka hanya perlu menjalani lima hari kuarantin, berbanding lapan hari sebelum ini," kata Pandjaitan.
"Jika keputusan ujian PCR pada hari keempat adalah negatif, mereka dibenarkan meninggalkan tempat kuarantin pada hari kelima."
Sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Gusti Ngurah Rai di Bali, setiap pelancong diminta untuk melakukan pemeriksaan fizikal, antaranya ujian reaksi polimerase berantai (PCR.
Lapangan terbang ini telah menyediakan bilik ujian PCR dengan kapasiti 3,840 ujian setiap hari.
-- BERNAMA
#Bali #pelancong antarabangsa #Bali dibuka semula #Indonesia
;