Bakeri cetus kekecohan, enggan tulis 'Selamat Hari Krismas' pada kek
Madiha Abdullah
Disember 24, 2017 05:54 MYT
Disember 24, 2017 05:54 MYT
SEBUAH kedai kek dan roti di bandar Makassar, Indonesia, mencetuskan kekecohan apabila enggan menerima tempahan pelanggan yang mahukan perkataan Selamat Hari Krismas atau Merry Christmas ditulis pada kek yang dipesan.
Bakeri dengan nama The Chocolicious Indonesia itu memuat naik satu status memohon maaf kerana tidak dapat memenuhi tempahan sedemikian, di akaun Instagram mereka, pada Ahad.
Dalam permohonan maaf itu, bakeri itu memaklumkan tindakan itu dibuat atas dasar 'prinsip agama', dan mereka menyediakan papan coklat dan kad ucapan sebagai ganti.
"Kami tetap menyediakan kad ucapan dan papan coklat sebagai kelengkapan pesanan. Anda bebas memberikan ucapan sendiri," tulis bakeri itu dalam permohonan maaf tersebut.
Memiliki 39,000 pengikut di Instagram, status berkenaan menerima lebih 22,000 likes dan 26,000 komen, namun pemeriksaan terbaharu mendapati ruangan komen telah pun ditutup.