Bakar tunang gara-gara cemburu buta
Agensi
Julai 13, 2019 08:58 MYT
Julai 13, 2019 08:58 MYT
Seorang wanita Ukraine maut akibat dibakar tunang yang menuduhnya curang dengan lelaki lain.
Dalam kejadian 2 Julai lalu di bandar Zaporizhia, Anastasia Kovaleva dibakar oleh Vitaly Chaikovsky yang mahu menakutkan wanita itu agar tidak meninggalkannya.
Sebelum kejadian, Chaikovsky dan Kovaleva dikatakan bertengkar menyebabkan wanita berusia 22 tahun itu meninggalkan apartmen mereka.
Chaikovsky, 28, kemudian pergi membeli petrol dan menunggu kepulangan tunangnya berhampiran pintu masuk blok apartmen mereka.
Sebaik melihat Kovaleva, Chaikovsky menyimbah petrol ke tubuh tunangnya dan menyalakan dengan pemetik api.
Seorang jiran bernama Valentina berkata, dia dan suaminya berlari menyelamatkan mangsa setelah mendengar jeritan mengatakan seorang wanita sedang terbakar.
Mereka berjaya memadamkan api pada tubuh Kovaleva dan menghubungi pasukan kecemasan.
Chaikovsky juga dikatakan cuba memadamkan api yang membakar tubuh tunangnya.
Kovaleva mengalami 90 peratus luka kebakaran pada tubuhnya dan meninggal dunia pada Khamis.
Chaikovsky yang ditahan pihak polis mengaku melakukan jenayah tersebut namun hanya berniat menakutkan mangsa.
Kes akan dibicarakan sebagai kes bunuh dan tertuduh berdepan hukuman penjara 15 tahun sekiranya didapati bersalah. - Agensi
#Anastasia Kovaleva
#bakar tunang
#bunuh
#bunuh tunang
#jenayah
#mangsa
#maut
#meninggal dunia
#polis
#Ukraine
#Vitaly Chaikovsky
#Zaporizhia