Bakar rumah penduduk, berang ditegur bercinta dengan isteri orang
Sinar Harian
Ogos 15, 2024 16:00 MYT
Ogos 15, 2024 16:00 MYT
SEORANG lelaki warga emas berusia 65 tahun bertindak membakar rumah penduduk di Lorong Roda Palembang, Sumatera selepas tersinggung dengan teguran yang melarangnya bercinta dengan isteri orang.
Kejadian bermula apabila pemilik rumah itu melaporkan hubungan terlarang lelaki itu kepada suami wanita tersebut.
Tersentak dengan teguran tersebut, suspek bertindak membakar rumah penduduk terbabit dengan menggunakan bahan api yang dipercayai petrol.
Suspek kemudiannya melarikan diri, bagaimanapun dia berjaya ditahan oleh polis tidak lama kemudian.
Dalam pada itu semasa perbicaraan di mahkamah Palembang, lelaki itu menyatakan kekesalannya kerana bertindak sedemikian.
"Pelaku didapati bersalah kerana berniat untuk menimbulkan kekecohan dengan membakar rumah," demikian menurut kenyataan mahkamah pada Selasa.
Pelaku kini berhadapan hukuman penjara 10 tahun dan akan mengajukan pembelaan pada sidang mahkamah minggu hadapan. - Sinar Harian/ Agensi