Bakar al-Quran: 'Kecam adalah satu tindakan lemah, Malaysia, negara OIC perlu lebih tegas'

Madiha Abdullah
Julai 1, 2023 14:20 MYT
Mengecam perlakuan itu sahaja adalah satu tindakan lemah yang sudah terlalu kerap dilakukan. - Gambar/ Facebook Abiyam Plus
KUALA LUMPUR: Malaysia dan negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mempunyai kekuatan untuk bersuara dan mengambil tindakan terhadap Sweden yang membenarkan protes serta pembakaran kitab suci al-Quran.
Profesor Pengajian Pertahanan, Keselamatan dan Strategik Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM), Prof Mohd Mizan Aslam berkata, mengecam perlakuan itu sahaja adalah satu tindakan lemah yang sudah terlalu kerap dilakukan.
Jelasnya, tindakan keras perlu diambil secara kolektif bagi menunjukkan kepada Sweden bahawa reaksi masyarakat Islam terhadap perlakuan membakar kitab suci itu bukan sekadar retorik semata-mata.
"Kenapa tidak kita lakukan sekatan, contoh menghentikan jualan produk Sweden di negara ini atau apa saja kepentingan mereka. Tidak salah juga kalau kita panggil duta Sweden untuk beri penjelasan atau panggil pulang duta kita di sana sebagai tanda bantahan keras.
"Jika boleh lakukan bantahan secara total, maka ia memberi tekanan jelas kepada Sweden. Kalau dibuat secara individu dan bukan secara kolektif, ia tidak beri tekanan dan tidak akan beri kesan dan hanya retorik pada pandangan Sweden," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI, pada Sabtu.
Tambahnya, apa yang berlaku di Sweden berpunca daripada nilai hak kebebasan asasi yang dipopularkan masyarakat Barat, tanpa mengambil kira aspek agama.
Lebih memburukkan keadaan, kebebasan itu diambil kesempatan oleh pihak-pihak tertentu untuk kepentingan diri sendiri, politik atau ekonomi.
"Apabila undang-undang sekular digunakan sepenuhnya, tidak lagi berlandas agama maka undang-undang akan membolehkan apa saja tindakan.
"Sebab itu di barat, mereka boleh pakai kemeja-T bertulis 'Jesus is gay' atau apa saja tanda dan lambang yang memburukkan agama sendiri atau orang lain. Itu dibenarkan kerana ia selaras dengan undang-undang... dan undang-undang yang dibangunkan pula sama sekali tidak ambil kira elemen agama," katanya lagi.
Rabu lalu, seorang lelaki berasal dari Iraq bertindak membakar al-Quran di Stockholm.
Perbuatan biadap itu dilakukan di luar masjid utama di ibu negara Sweden itu menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha.
#Sweden #bakar al-Quran #oic #tindakan lebih tegas
;